KUALA LUMPUR 20 April - ICAEW Malaysia, dengan kerjasama KAPLAN, bekerjasama dengan Jabatan Akauntan Negara untuk meningkatkan kemahiran 20 kakitangan perakaunan dari pelbagai kementerian - termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi - untuk melaksanakan pensijilan Analitik Data ICAEW bagi membolehkan lebih ramai petugas kewangan dan perniagaan menguasai teknologi dan data.
Kursus Analitik Data ICAEW disesuaikan secara khusus mengikut pendekatan lanjutan untuk menyiasat dan memahami data, membolehkan pelajar memainkan peranan penting dalam menggabungkan ketajaman aspek komersial dan pengetahuan perniagaan dengan kepakaran analisis data.
Keseluruhan kursus boleh dijalankan secara dalam talian dan dengan itu memberikan kelonggaran untuk orang dewasa yang bekerja menyusun jadual mengikut waktu kerja mereka.
Dalam majlis penganugerahan sijil baru-baru ini yang disaksikan oleh Timbalan Akauntan Negara, Rozaimi Idris dan para Pengarah pelbagai unit di Jabatan Peguam Negara, 20 kakitangan perakaunan telah disampaikan sijil ICAEW Data Analytics (selepas menamatkan kursus intensif selama 3 bulan) oleh Loh Wei Yuen, Ketua ICAEW Malaysia dan diselaraskan oleh Zaiti Waddell dari KAPLAN.
Kini, kakitangan ini diperakui dan mempunyai keupayaan untuk menganalisis set data yang lebih besar. Analisis data mempunyai kesan transformasi yang mendalam terhadap kerajaan di seluruh dunia dan memberikan kesan struktur asas kepada masyarakat.
Walaupun penggunaan data dalam sektor awam bukanlah perkara baharu, potensi dan penggunaan sebenar aplikasi data mempengaruhi aspek pertimbangan teori dan praktikal dalam membuat keputusan dalam sektor awam. Ini didorong bukan sahaja oleh revolusi data tetapi juga perkembangan analitik lanjutan yang disertakan.
Jabatan Akauntan Negara Malaysia mengetuai peranan ini dan menyediakan set kemahiran baharu untuk profesional kewangan dalam sektor kerajaan. Aplikasi data dalam kerajaan mempunyai potensi yang hampir tidak terhad untuk menyediakan perkhidmatan awam yang lebih cekap, berkesan dan boleh dipercayai.
Rozaimi berkata, Program Pensijilan Analitis Data ICAEW adalah salah satu daripada beberapa pensijilan di mana ramai akauntan dalam perkhidmatan awam telah mendaftar di bawah Jabatan Akauntan Negara.
''Ia adalah sebahagian daripada usaha kami dalam memastikan warga kami dilengkapi dengan pengetahuan bukan sahaja untuk memenuhi tugas harian mereka, tetapi juga untuk dapat berkembang dengan perubahan dalam profesion perakaunan, khususnya dalam sektor awam,” ujar beliau.
Loh berkata, di Malaysia, ICAEW menyediakan komuniti profesional ini kuasa untuk membina dan mengekalkan ekonomi yang kukuh.
''Dengan melatih, membangun dan menyokong akauntan sepanjang kerjaya mereka, kami memastikan mereka mempunyai kepakaran dan nilai untuk memenuhi keperluan perniagaan masa depan,” kata beliau. - DagangNews.com