Pekat raih kontrak bina sistem solar 15 tahun untuk Majlis Bandaraya Seberang Prai | DagangNews Skip to main content

Pekat raih kontrak bina sistem solar 15 tahun untuk Majlis Bandaraya Seberang Prai

KUALA LUMPUR 15 Nov – Pakar solar fotovoltaik (PV) dan perlindungan dan pembumian kilat, Pekat Group Berhad meraih kontrak bagi membekalkan tenaga elektrik dijana solar untuk Majlis Bandaraya Seberang Prai (MBSP) bagi tempoh selama 15 tahun.

 

Menurut Pekat, Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) telah ditandatangani antara syarikat subsidiari milik penuhnya, Pekat Solar Sdn Bhd dengan MBSP, di bawah Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) kelolaan kerajaan.

 

Di bawah perjanjian tersebut, Pekat Solar akan memasang, memiliki dan mengendalikan sistem solar PV bumbung dengan kapasiti penjanaan sebanyak 536 kilowatt, yang akan dipasang di atas bumbung bangunan letak kereta MBSP.

 

MBSP akan membayar Pekat Solar bagi tenaga elektrik yang dijana dari sistem solar PV, berdasarkan diskaun tetap tarif elektrik pada nilai yang dipersetujui bersama.

 

Perjanjian itu menandakan kontrak PPA pertama dalam sektor awam, dan menandakan keyakinan pasaran yang semakin meningkat terhadap keupayaannya di dalam industri solar PV.

 

Kapasiti penjanaan tenaga elektrik boleh diperbaharui itu akan membantu MBSP menjimatkan kos di dalam bil elektrik tahunannya, dan mengurangkan jejak karbon yang seiring dengan komitmennya untuk merubah Seberang Prai menjadi bandar rendah karbon menjelang tahun 2022.

 

Kerja-kerja pemasangan sistem solar PV pada bumbung dijangka bermula pada separuh pertama bulan ini dan dijadual siap menjelang Februari 2022.

 

 

mbsp

 

 

Mengikut kontrak itu juga, Pekat Solar juga akan memasang dan menyediakan stesen pengecas bagi kenderaan elektrik (EV) kepada MBSP.

 

Pengarah Eksekutif Pekat, Wee Chek Aik berkata, kontrak tersebut akan mendorong lagi langkah Pekat di dalam perluasan penawarannya sebagai kontraktor di dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentaulihan (EPCC) dan juga Pelabur Fotovoltaik Berdaftar (RPVI). – DagangNews.com