PEKEMA meterai MoU dengan NexV Manufacturing pasang Dongfeng Box di Malaysia | DagangNews Skip to main content

PEKEMA meterai MoU dengan NexV Manufacturing pasang Dongfeng Box di Malaysia

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 25 Jun – Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melalui anak syarikatnya, Central Auto Distributors Bhd (CADB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) untuk kolaborasi menjadikan Malaysia pusat serantau bagi pengeluaran dan pemasangan kenderaan elektrik (EV), Dongfeng Box.

 

Majlis MoU itu turut disaksikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Faisal Mohd Yusof berlangsung di Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), di sini hari ini.

 

MoU itu bertujuan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua syarikat dalam aktiviti pemasangan kenderaan, dengan NMSB menyediakan fasiliti dan CADB bertanggungjawab terhadap pemasaran serta pengedaran kenderaan elektrik.

 

 

pekema

 

 

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, CADB sedang meneroka program CKD untuk pengeluaran kenderaan elektrik dari China iaitu Dongfeng Motor (DFM).

 

Usaha itu katanya, sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk menyokong visi kerajaan dan selaras dengan misi PEKEMA untuk meningkatkan penyertaan ahli-ahli dalam perniagaan dan ekosistem kenderaan elektrik.

 

"Melalui CADB, PEKEMA berhasrat membangunkan program pembangunan bakat tempatan dan vendor untuk kenderaan elektrik. Kami juga berharap mencapai pemindahan teknologi yang berjaya dengan Dongfeng Motor yang membuat pelaburan besar dalam teknologi automotif di China," ujar beliau.

 

Tambah beliau, ini termasuk peluang untuk ahli PEKEMA terlibat dalam perniagaan pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan model Dongfeng Box di bawah Syarikat Dongfeng Motor.

 

“Ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada industri tempatan tetapi juga bakal membuka peluang kepada ahli-ahli kami untuk mengambil bahagian dalam pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan," tambah beliau.

 

Perjanjian MoU antara Central Auto Distributors Bhd (CADB) dan NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) dijangka membuka lembaran baharu dalam industri automotif Malaysia, khususnya dalam era peralihan kepada kenderaan elektrik yang mesra alam.

 

Dengan termeterainya MoU ini, kedua-dua pihak akan meneruskan perbincangan untuk memuktamadkan perjanjian mutlat yang akan memperincikan aktiviti-aktiviti kerjasama yang bakal dijalankan.

 

Majlis MoU itu turut dihadiri oleh pemimpin industri dan perwakilan akademik, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz; ahli Lembaga Pengarah CADB iaitu Dato’ Wan Sazrudeen Dato’ Wan Zaid, Raja Petra Marudin Raja Nordin, Ahmad Faresh Ahmad Zahid, Ikmal Haqemi Dato’ Sri Ikmal Hisham, Rabitah Dato' Hj Shamshudin, Dato' Zainuddin Abd Rahman, Dato' Rokiah Omar dan Dato’ SM Zulkifli SM Amin, yang menambahkan dimensi strategik kepada kesepakatan ini. - DagangNews.com