Pekerja bank juga perlu diberi ganjaran RM300 - NUBE | DagangNews Skip to main content

Pekerja bank juga perlu diberi ganjaran RM300 - NUBE

Pekerja bank juga perlu diberi ganjaran RM300

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) menggesa kerajaan, pengurusan bank dan majikan lain untuk berlaku adil dan menunjukkan penghargaan terhadap pekerja bank serta petugas barisan hadapan lain yang bertanggungjawab memerangi COVID-19.

 

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, sejumlah pekerja bank turun padang menyediakan perkhidmatan bank kerana dianggap sebagai perkhidmatan penting semasa seluruh negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelbagai perintah kawalan berkurung lain.

 

"Kerajaan bertindak tepat menunjukkan penghargaannya kepada barisan hadapan kementerian kesihatan apabila memberikan pembayaran sekali sebanyak RM300. Pada hari Khamis, menteri kewangan melanjutkan pemberian imbuhan itu kepada barisan hadapan lain seperti polis, tentera, Rela dan mereka yang berada di bawah Badan Pengurusan Bencana Nasional (Nadma). Ini juga tindakan tepat. 

 

"Apa yang tidak betul adalah untuk kerajaan dan sektor swasta, terutama pihak bank tidak menunjukkan rasa penghargaan yang sama kepada frontliners lain, seperti pekerja bank, pekerja penghantaran dan ramai wira dalam sektor ekonomi lain yang menyediakan perkhidmatan penting semasa negara di bawah PKP atau PKPB," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menambah, meskipun kerajaan menegaskan bahawa tanggungjawabnya hanya kepada kakitangan awam, kerajaan harus akur bahawa pihaknya yang mengarahkan bank-bank untuk terus beroperasi sewaktu PKP.

 

J. Solomon
J. Solomon 

 

Oleh demikian, kerajaan tidak boleh teragak-agak untuk menggesa bank dan majikan lain untuk memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada pekerja dalam membantu mengurangkan kesan COVID-19 terhadap rakyat.

 

"NUBE merasakan bahawa bank-bank khususnya tidak boleh menolak atau meremehkan peranan pekerjanya dalam memastikan cawangan tetap terbuka sementara sebahagian besar negara berada dalam satu bentuk penguncian atau yang lain.
 

"Bank harus memberikan imbuhan yang dinikmati frontliners awam kepada pekerja bank, yang kebanyakannya berasal dari kumpulan B40 dan M40," tambahnya lagi.

 

Pekerja bank melakukan tugasan dengan tekun dalam membantu dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat selain terpaksa mematuhi SOP ketat sebelum, semasa dan selepas bekerja demi keselamatan pelanggan dan diri sendiri.

 

Segelintir pekerja bank turut dijangkiti COVID-19 semasa menjalankan tugas meskipun mengambil langkah penjagaan keselamatan.

 

Dalam kenyataan yang sama, pihaknya berpendapat bahawa bank mampu untuk memberikan ganjaran tersebut dengan mudah kerana institusi perbankan mencatatkan keuntungan yang amat sihat.

 

"Maybank misalnya mencatat keuntungan RM942 juta untuk suku kedua 2020 (April-Jun), keuntungan CIMB adalah RM277 juta pada tempoh yang sama, keuntungan RHB, RM400 juta dan Public Bank adalah RM1 bilion.

 

"Pengiktirafan dalam bentuk ganjaran RM300 seperti mana di nikmati oleh frontliners kerajaan perlu dinikmati oleh pekerja bank sebagai tanda pengurusan bank tidak melupakan jasa mereka," ujarnya lagi. - DagangNews.com