KUALA LUMPUR 26 Jan - Deel, sebuah platfom sumber manusia untuk pasukan global, melancarkan 'Global Hiring Report, sebuah laporan yang menunjukkan statistik pengambilan dan permintaan pekerja yang meletakkan warga kerja profesional Malaysia di landskap permintaan tenaga kerja global.
Deel berkata, menurut laporan itu, lima pekerjaan warga Malaysia yang sering diambil bekerja di peringkat antarabangsa ialah jurubahasa, jurutera perisian, pembantu maya dan juruanimasi.
Katanya, permintaan untuk peranan-peranan ini membuktikan bahawa Malaysia mempunyai kumpulan bakat yang pelbagai, sekali gus meningkatkan kepentingan kemahiran di peringkat antarabangsa.
"Empat buah negara yang sering mengambil pekerja daripada Malaysia untuk segmen pekerjaan berkenaan ialah Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Singapura dan Australia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut laporan Deel, 6% daripada individu yang mendapat pekerjaan terbabit berada dalam lingkungan usia 16 hingga 24.
Katanya, ia mencadangkan satu trend positif dalam kalangan bakat muda dan sekali gus menyumbang kepada industri dengan membina kemahiran mereka.
"Sementara itu, 45% daripada permintaan tenaga kerja jatuh dalam julat umur 25 hingga 34 tahun, menunjukkan fokus yang tinggi kepada golongan profesional yang berada di tahap pertengahan," katanya.
Deel berkata, statistik yang sama iaitu 45% juga dapat dilihat dalam lingkungan usia 35 hingga 44, yang menunjukkan permintaan yang berterusan untuk golongan profesional dengan pengalaman yang luas dalam bidang mereka yang tersendiri.
"Demografik ini memainkan peranan penting dalam memupuk dan menyumbang kepada peningkatan pengetahuan industri dan kepimpinan dalam posisi yang ditawarkan. Selain itu, baki 4% adalah untuk pekerja yang diambil dalam lingkungan 45 hingga 54 tahun," katanya.
Laporan ini juga menyatakan bahawa, walaupun majoriti majikan meletakkan fokus yang tinggi kepada langkah kembali ke pejabat, pengambilan pekerja global secara maya terus mencatatkan peningkatan melangkaui peranan teknikal seperti pekerjaan melibatkan jualan produk, perkhidmatan pelanggan dan pengisian terutamanya yang melibatkan generasi muda.
Jumlah pekerja nomad digital di peringkat global kini mencecah 250,000, satu peningkatan sebanyak 35x daripada hanya 7,000 pada tahun 2020.
Ketua Rantau Asia Deel, Karen Ng berkata, selari dengan kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh banyak negara di seluruh dunia, majikan kini mencari bakat besar di luar sempadan.
"Dengan pasaran yang semakin berkembang dan peningkatan cara mobiliti, terdapat banyak peluang tanpa batasan yang boleh diterokai melangkaui sempadan negara dan permintaan global untuk mereka yang berbakat besar semakin sengit.
"Syarikat juga semakin mengiktiraf nilai yang dibawa oleh bakat yang pelbagai bersertakan perspektif antarabangsa. Kami juga mendapati bahawa rantau APAC terutamanya menonjol sebagai pusat inovasi dan kerjasama," katanya. - DagangNews.com