Pelabur asing beli bon Malaysia 7 bulan berturut-turut | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli bon Malaysia 7 bulan berturut-turut

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Pasaran bon Malaysia menyaksikan aliran masuk asing selama tujuh bulan berturut-turut pada November lalu bernilai RM1.9 bilion.

 

Aliran masuk asing terbesar didahului oleh Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) bernilai RM2.7 bilion. 

 

Ram Ratings Services Berhad berkata, minat pelabur asing yang tinggi melonjakkan aliran masuk sehingga 25% berbanding tahun lalu kepada RM14.8 bilion.

 

“Peratusan pemegangan asing daripada jumlah bon yang ada melonjak kepada 13.6%, paras tertinggi sejak Januari 2020. 

 

“Ini didorong oleh sentimen yang bertambah baik dan buruan kadar hasil ketika kadar faedah global yang rendah,” kata firma itu dalam kenyataan hari ini. 

 

Tambah Ram Ratings, para pelabur dilihat mengambil kira risiko pasaran yang kian meningkat akibat ketidaktentuan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) dan krisis politik domestik yang mengancam kelulusan Belanjawan 2021.

 

Walaupun permintaan asing kekal stabil, kadar hasil keseluruhan masih meningkat.

 

Sementara itu, kadar hasil domestik mungkin ditingkatkan oleh mudah tunai pasaran yang lebih ketat.

 

Ini berdasarkan perubahan nisbah bagi MGS/GII berpurata 0.059 pada bulan lalu, terendah sejak Disember 2018. 

 

Berhubung semak turun penarafan Fitch Ratings, Ram Ratings berkata ia tidak memberi impak dan bersifat sementara sahaja memandangkan kadar hasil 10 tahun MGS yang melonjak sedikit pada awal minggu itu hanya berakhir pada 2.4 mata asas lebih rendah pada minggu sebelumnya.

 

Kata firma itu, kadar pertukaran dolar AS dan ringgit juga ditutup dengan lebih kukuh, 4.055 pada 11 Disember berbanding 4.064 pada minggu sebelumnya. 

 

“Susulan daripada semak turun Fitch, pelabur mungkin bimbang terhadap potensi penarafan serupa daripada dua agensi penarafan lain.

 

“Risiko penurunan lain adalah penilaian FTSE Russell terhadap status pemerhatian Malaysia menjelang kajian semula pada Mac 2021,” kata Ram Ratings. - DagangNews.com