Pelabur asing beli RM165.3 juta ekuiti Malaysia pada minggu terakhir 2023 – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM165.3 juta ekuiti Malaysia pada minggu terakhir 2023 – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - Minat dalam ekuiti Malaysia dalam kalangan pelabur asing menjangkaui minggu ketiga apabila mereka membeli bersih saham berjumlah RM165.3 juta di Bursa Malaysia pada minggu lepas, kata MIDF Research.

 

Minggu terakhir 2023 itu merupakan minggu dagangan yang pendek kerana cuti Krismas pada Isnin.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing membeli RM85.2 juta pada Rabu dan RM187.9 juta pada Khamis tetapi menjual pada Selasa dan Jumaat, masing-masing sebanyak RM50.3 juta dan RM57.5 juta.

 

“Bagi minggu tersebut, tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing tertinggi adalah teknologi (RM213.1 juta), tenaga (RM45 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM37 juta).

 

“Tiga sektor teratas dengan aliran keluar pelabur asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM93.5 juta), penjagaan kesihatan (RM59.8 juta) dan pembinaan (RM27.8 juta),” katanya dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 29 Disember 2023.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata pelabur institusi tempatan terus mencatat jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut bernilai RM189.6 juta, iaitu 77.7% lebih tinggi daripada minggu sebelumnya.

 

Mereka membeli bersih pada Selasa dan Jumaat, masing-masing berjumlah RM21 juta dan RM58.9 juta tetapi menjual bersih RM66.9 juta pada Rabu dan RM202.7 juta pada Khamis.

 

Pelabur runcit tempatan pula membeli RM4.3 juta minggu lepas, selepas menjual dalam dua minggu sebelumnya.

 

Mereka membeli bersih RM29.3 juta pada Selasa dan RM14.8 juta pada Khamis tetapi menjual pada Rabu dan Jumaat, masing-masing berjumlah RM18.4 juta dan RM1.4 juta.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur institusi tempatan sebanyak 11.6%, manakala pelabur runcit tempatan dan pelabur asing menyaksikan penurunan masing-masing pada 4.3% dan 22%,” jelasnya.  - DagangNews.com