Pelabur asing jual balik ekuiti Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual balik ekuiti Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - Pelabur asing kembali menjual ekuiti Malaysia selepas dua minggu berturut-turut menyaksikan pembelian bersih oleh mereka.

 

Pada minggu lalu yang berakhir 19 Mac 2021, aliran keluar asing mencecah -RM101.07 juta, menurut MIDF Research. 

 

Apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing membeli +RM26.11 juta ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing merupakan pembeli dan penjual bersih bernilai +RM142.02 juta dan -RM168.17 juta, kata MIDF.

 

“Pelabur asing merupakan pembeli bersih setiap hari kecuali pada Selasa dan Jumaat, minggu lalu. 

 

“Bagaimanapun, jumlah aliran masuk tidak mampu menampung momentum penjualan pada minggu lalu, terutamanya jualan bersih yang dicatatkan pada Jumaat. 

 

“Pengumuman inisiatif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion bersama-sama suntikan fiskal baharu oleh kerajaan berjumlah RM11 bilion, pada minggu lalu, memberikan sedikit dorongan kepada pasaran ekuiti negara,” jelas MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Namun begitu, dorongan itu terencat oleh impak kadar hasil bon Amerika Syarikat (AS) yang kian meningkat, selain kebimbangan terhadap inflasi di negara itu, tambah MIDF. 

 

Bagi pelabur runcit, MIDF berkata, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari pada minggu lalu. 

 

Pembelian bersih terbesar dicatatkan pada hari Isnin, bernilai RM142.05 juta dan nilai terendah pada Khamis, RM59.41 juta, ujar MIDF lanjut. 

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula menjadi penjual bersih setiap hari pada minggu lalu kecuali pada hari Jumaat, jelas MIDF.

 

“Pengakhiran dagangan yang bercampur-campur itu dicatatkan selepas enam minggu menonjolkan prestasi penjualan bersih pada tahun ini.

 

“Aliran keluar mingguan terkumpul bernilai -RM421.49 juta. Penjualan bersih terbesar dicatatkan pada Isnin bernilai -RM168.17 juta, sementara penjualan bersih terendah pada Khamis, -RM68.91 juta. 

 

“Sejak permulaan 2021, secara terkumpulnya, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti bernilai RM4.76 bilion,” kata MIDF lagi.

 

Dalam pada itu, pelabur institusi tempatan dan asing pula masing-masing merupakan penjual bersih bernilai -RM3.48 bilion dan -RM1.28 bilion, jumlah terkumpul setakat ini. 

 

Dari segi penyertaan, pelabur runcit dan institusi tempatan mencatatkan purata nilai dagangan harian (ADTV) yang menyusut berbanding minggu sebelumnya, masing-masing menurun -12.19% dan -21.09%. 

 

Pelabur asing sebaliknya meningkat iaitu sebanyak +5.13% dari segi ADTV.

 

Pada tempoh sama, ketiga-tiga saham Top Glove Corporation Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) menyaksikan aliran masuk tertinggi iaitu masing-masing, RM7.42 juta, RM3.23 juta dan RM1.72 juta. 

 

Sementara itu, Serba Dinamik Holdings Berhad, Hong Leong Bank Berhad dan Press Metal Aluminium Holdings Berhad pula menyaksikan aliran keluar tertinggi, iaitu masing-masing pada kadar -RM5.17 juta, -RM4.95 juta dan -RMM4.35 juta. - DagangNews.com