Pelabur asing jual ekuiti Malaysia meningkat minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti Malaysia meningkat minggu lalu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]


 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Nilai jualan asing ekuiti Malaysia berkembang sehingga RM615 juta pada minggu lalu daripada RM87 juta pada dua minggu sebelumnya disebabkan oleh aktiviti pengimbangan semula indeks MSCI.

 

Dalam laporan aliran ekuiti mingguan oleh CGS-CIMB Research, dana-dana pasif telah menjual ekuiti Malaysia untuk mengimbangi semula portfolio mereka bagi mencerminkan penurunan wajaran Malaysia dalam Indeks MSCI Emerging Markets (EM) berikutan kemasukan sekuriti Kuwait.

 

“Daripada RM615 juta aliran keluar daripada pelabur institusi asing pada minggu lalu, 84% daripadanya dijual pada 30 November 2020 atau tarikh apabila perubahan itu berkuatkuasa,” jelas CGS-CIMB. 

 

Aliran keluar asing terbesar dapat dilihat dalam sektor perkhidmatan kewangan (-RM304.5 juta) dan utiliti (-RM203 juta) pada minggu lalu.

 

Pada tempoh sama, pelabur asing juga muncul sebagai pembeli terbesar sektor penjagaan kesihatan mencecah RM380.5 juta dengan aliran masuk tertinggi ke dalam Supermax Corporation Berhad. 

 

“Empat pengeluar sarung tangan terbesar dari segi modal pasaran menarik kebanyakan aliran pembelian daripada pelabur institusi asing. 

 

“Bagaimanapun, hanya Top Glove Corporation Berhad yang berjaya masuk ke dalam senarai pembelian besar pelabur runcit, mungkin didorong oleh aktiviti pembelian balik saham,” tambah CGS-CIMB. 


 

Kata CGS-CIMB, para pelabur terus beralih ke saham yang menerima manfaat daripada pemulihan pandemik COVID-19. 

 

Ini sekali gus menyaksikan sektor tenaga, hartanah dan telekomunikasi muncul sebagai antara ‘pemenang’ besar pada minggu lalu. 

 

Sektor tenaga melonjak 14.5% berbanding minggu sebelumnya, hartanah (+8%) dan telekomunikasi (+6.2%) yang juga merupakan sektor berprestasi terbaik. 

 

“Salah satu persamaan yang dimiliki syarikat-syarikat itu adalah indeks mereka masih menunjukkan pulangan negatif dari awal tahun hingga setakat ini. 

 

“Sektor berprestasi paling lemah adalah penjagaan kesihatan, menurun 1.1% berbanding minggu sebelumnya, pengguna (+1.4%) dan perladangan (+1.6%),” ujar CGS-CIMB. - DagangNews.com\\