Pelabur asing jual RM1.16 bilion ekuiti tempatan bagi minggu kedua berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM1.16 bilion ekuiti tempatan bagi minggu kedua berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - Pelabur asing meneruskan jualan di Bursa Malaysia berjumlah RM1.16 bilion minggu lepas, jumlah besar yang tidak dilihat sejak tiga tahun lepas, pada minggu berakhir 20 Mac 2020, apabila mereka menjual bersih RM1.79 bilion.

 

MIDF Research berkata pelabur asing telah membeli bersih RM20.6 juta pada Isnin tetapi menjual pada hari-hari berikutnya iaitu sebanyak RM39.3 juta (Selasa), RM397.6 juta (Rabu), RM410.6 juta (Khamis) dan RM336.3 juta (Jumaat).

 

“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing untuk minggu lalu adalah utiliti (RM86.2 juta), pembinaan (RM41.8 juta) dan hartanah (RM21.9 juta).

 

“Manakala tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar mereka adalah perkhidmatan kewangan (RM770.3 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM246.5 juta) dan penjagaan kesihatan (RM159.8 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut MIDF Research, pelabur asing telah menjual bersih RM3.13 bilion ekuiti Malaysia setakat ini bagi 2023.

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan menamatkan rentetan jualan bersih selama tiga minggu dengan belian bersih RM1.05 bilion, jumlah belian bersih tertinggi yang dilihat dalam tempoh tiga tahun sejak minggu berakhir 5 Jun 2020 apabila mereka membeli RM1.18 bilion ekuiti.

 

Setakat ini, pelabur institusi tempatan telah membeli bersih RM3.63 bilion ekuiti.

 

“Pada minggu lalu, mereka mencatat belian bersih dalam sektor perkhidmatan kewangan (RM678.5 juta), penjagaan kesihatan (RM138.6 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM127.2 juta),” kata firma penyelidikan itu.

 

Sementara itu, pelabur runcit tempatan meneruskan pembelian bersih ekuiti tempatan bagi minggu kedua berturut-turut sebanyak RM114.4 juta.

 

Mereka membeli bersih setiap hari kecuali pada Khamis dengan aliran keluar RM22.6 juta dan setakat ini, pelabur runcit merekodkan jualan bersih berjumlah RM508.2 juta

 

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing dan pelabur institusi tempatan masing-masing meningkat 2.4% dan 3.6%, manakala pelabur runcit tempatan menyaksikan penurunan sebanyak 3.7%,” katanya.  - DagangNews.com