Pelabur asing jual RM237.09 juta ekuiti minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM237.09 juta ekuiti minggu lalu


KUALA LUMPUR 19 Okt. - Jualan asing bagi ekuiti tempatan di Bursa Malaysia melonjak sehingga RM237.09 juta minggu lalu berbanding RM28.38 juta dalam minggu sebelumnya. 

Menurut MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya, pelabur asing telah menjual RM809.38 juta secara kumulatif pada Oktober. 

"Minggu lalu, pelabur runcit merupakan pembeli bersih ekuiti berjumlah RM133.15 juta dengan institusi tempatan sebanyak RM103.96 juta bagi tempoh sama. 

"Ini menandakan minggu keempat berturut-turut, institusi tempatan muncul pembeli bersih di Bursa Malaysia," katanya dalam laporan tersebut. 

Jelas firma penyelidikan itu, minggu lalu menyaksikan pembeli bersih menguasai pasaran ekuiti dengan pembelian sebanyak RM81.45 juta yang bermula sejak Selasa setelah tiga minggu berturut-turut dikuasai penjual bersih. 

"Perkara itu yang berterusan sepanjang minggu menandakan isyarat terhadap pembelian oleh pelabur runcit. 

"Ini didorong oleh aktiviti tawar-menawar, kecenderungan membeli semula saham berkaitan sarung tangan getah (disebabkan peningkatkan kes COVID-19) dan ketidaktentuan politik," katanya. 

Secara perbandingan, menurut MIDF, ia menyaksikan peruncit sebagai penjual bersih ekuiti Malaysia bernilai RM491.32 juta dalam tempoh tiga minggu. 

Katanya, apabila pasaran dibuka Isnin lalu, pelabur asing membeli RM38.97 juta bersih dari pasaran tempatan dengan peruncit dan institusi tempatan sebagai penjual dan pembeli bersih masing-masing sebanyak RM67.94 juta dan RM29.38 juta.

Setakat tahun ini, kata firma itu, jualan pelabur asing mencecah RM22.59 bilion nilai ekuiti di Bursa Malaysia. 

"Berdasarkan analisis kami terhadap tiga lagi pasaran Asia Tenggara minggu lalu, Indonesia merekodkan aliran asing paling sedikit manakala Thailand pula mencatatkan aliran keluar terbesar berbanding yang lain-lain." katanya. - DagangNews.com