Pelabur asing jual RM373.5 juta ekuiti tempatan bagi minggu ketujuh berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM373.5 juta ekuiti tempatan bagi minggu ketujuh berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - Pelabur asing mengekalkan momentum jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan aliran keluar RM373.5 juta ekuiti minggu lepas.

 

MIDF Research berkata, jumlah itu adalah 11% lebih tinggi berbanding jualan bersih pada minggu sebelumnya dan jumlah hari dagangan adalah selama tiga hari kerana sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

Katanya, pelabur asing bersih membeli ekuiti dalam sektor hartanah (RM75.3 juta), pengangkutan & logistik (RM26.8 juta) dan pembinaan (RM16.5 juta).

 

"Sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM285.9 juta), utiliti (RM85.4 juta) dan produk & perkhidmatan pengguna (RM52.7 juta)," katanya dalam laporan aliran dana mingguan berakhir 12 April  2024 hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan meneruskan trend pembelian ekuiti domestik untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan pembelian berjumlah RM430.7 juta.

 

Katanya, peruncit tempatan terus menjadi penjual bersih untuk minggu kelima berturut-turut, dengan jualan bersih berjumlah RM57.1 juta.

 

"Mereka menamatkan jualan bersih berturut-turut 22 hari mereka dengan melakukan pembelian ekuiti sebanyak RM9.5 juta pada Selasa tetapi terlibat dalam jualan bersih sepanjang baki hari dagangan minggu lepas," katanya.

 

MIDF Research berkata, dari segi penyertaan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 3.1% dan institusi tempatan (15.2%) serta peningkatan dalam kalangan pelabur asing sebanyak 3.1%. - DagangNews.com