Pelabur asing jual RM86.8 juta ekuiti Malaysia minggu lepas - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM86.8 juta ekuiti Malaysia minggu lepas - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Malaysia menyaksikan aliran keluar asing sehingga RM86.8 juta pada minggu lalu yang berakhir 27 November 2020. 

 

Bermula awal 2020 hingga setakat ini, pelabur asing telah menjual sebanyak RM23.48 bilion ekuiti di Bursa Malaysia. 

 

Menurut MIDF Research, jika dibandingkan dengan tiga pasaran saham di Asia Tenggara, Thailand masih mencatatkan aliran masuk asing tertinggi, manakala Malaysia menyaksikan aliran keluar asing tertinggi. 

 

“Apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing telah membeli sebanyak RM169.5 juta ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing telah menjual sebanyak RM150.9 juta dan RM18.6 juta. 

 

“Bagaimanapun, momentum pembelian pelabur runcit bermula pada Selasa dengan aliran masuk terbesar sebanyak RM134.4 juta dan terendah pada Rabu, dengan aliran masuk RM2.9 juta. Momentum ini berterusan sehingga ke hujung minggu lalu. 

 

“Pada hari Jumaat, pelabur runcit telah membeli sebanyak RM16.27 juta. Ini berbeza dengan institusi tempatan," kata MIDF dalam nota kajian pasaran ekuiti mingguannya. 

 

Pasaran Malaysia menyaksikan institusi tempatan sebagai penjual terbesar pada setiap hari kecuali Jumaat lalu.

 

Setakat ini, aliran masuk ekuiti Malaysia bernilai RM11.98 bilion dengan pelabur runcit merupakan pembeli terbesar, manakala institusi tempatan pula mencatatkan pembelian ekuiti sebanyak RM11.13 bilion. 

 

Dari segi penyertaan pasaran, pelabur runcit menyaksikan penurunan berbanding minggu sebelumnya sehingga 20.65% dalam purata nilai dagangan harian (ADTV).

 

ADTV pelabur asing pula menurun 17.03% dan institusi tempatan merosot 22.77% bagi perbandingan minggu ke minggu. 

 

“Hampir semua pasaran ekuiti utama di seluruh dunia berakhir positif pada minggu lalu kecuali di Filipina,” tambah MIDF. - DagangNews.com