Pelabur asing jual saham Malaysia setiap hari - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual saham Malaysia setiap hari - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Pelabur asing telah menjual bersih ekuiti Malaysia setiap hari, pada minggu lalu yang berakhir 2 Julai 2021. 

 

Ini sekali gus menyaksikan aliran keluar asing berjumlah -RM499.25 juta dan merupakan penjualan bersih minggu kedua berturut-turut, menurut MIDF Research. 

 

“Sebaik pasaran dibuka pada Isnin lalu, pelabur asing menjual bersih -RM126.69 juta ekuiti tempatan, dengan pelabur runcit dan institusi tempatan, kedua-duanya menjadi pembeli bersih, masing-masing berjumlah RM1103.32 juta dan RM23.37 juta. 

 

“Aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada Rabu dengan nilai terendah pada Jumaat, masing-masing berjumlah -RM206.0 juta dan -RM28.66 juta,” jelas MIDF dalam satu nota kajian mengenai aliran dana hari ini.

 

Dalam pada itu, pelabur runcit membeli bersih saham Malaysia setiap hari pada tempoh sama, dengan jumlah terbesar dicatatkan pada Isnin, bernilai RM103.32 juta dan terendah pada Jumaat, RM13.87 juta. 

 

Secara terkumpul, ujar MIDF, pelabur runcit membeli bersih RM309.56 juta nilai ekuiti di Bursa Malaysia. 

 

Sementara pelabur institusi tempatan mencatatkan jumlah aliran masuk mingguan terkumpul berjumlah RM189.69 juta.

 

Satu-satunya penjualan bersih dilakukan oleh mereka pada hari Selasa, berjumlah -RM44.32 juta dan pembelian terbesar pada Rabu, RM137.39 juta. 

 

“Sejak awal tahun 2021, secara terkumpul, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti Malaysia berjumlah RM8.21 bilion. 

 

“Pelabur institusi tempatan dan asing menjadi penjual bersih, masing-masing berjumlah -RM3.89 bilion and -RM4.31 bilion,” tambah MIDF lanjut.

 

Bagi tempoh sama, saham-saham Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petronas Chemicals Group Berhad dan Genting Plantation Berhad menyaksikan aliran masuk tertinggi, masing-masing berjumlah RM2.39 juta, RM1.84 juta dan RM1.10 juta.

 

Sementara Genting Berhad, MISC Berhad dan CIMB Group Holdings Berhad pula menyaksikan aliran keluar tertinggi, masing-masing berjumlah -RM2.60 juta, -RM2.02 juta dan -RM1.93 juta. - DagangNews.com