Pelabur asing jual semula RM613 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual semula RM613 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt - Pelabur asing menjual bersih RM613 juta ekuiti di Bursa Malaysia semula pada minggu lepas, selepas belian bersih seketika sebanyak RM10.2 juta minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata minggu lalu menyaksikan pelabur asing menjual bersih setiap hari, dengan kebanyakan aliran keluar dilihat pada Isnin berjumlah RM208.7 juta. Mereka telah menjual untuk enam hari berturut-turut.

 

“Terdapat hanya tiga sektor yang menyaksikan pembelian bersih oleh pelabur asing, iaitu utiliti (RM28.5 juta), hartanah (RM20.8 juta) dan REIT (RM5.4 juta).

 

“Sektor dengan aliran keluar bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM337.1 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM100.6 juta) serta telekomunikasi dan media (RM51.4 juta).

 

Pelabur asing telah menjual bersih sebanyak RM3.73 bilion setakat ini bagi 2023.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan mengekalkan pembelian bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut dengan aliran masuk RM618.3 juta minggu lalu.

 

Firma itu berkata mereka membeli bersih setiap hari, dengan aktiviti belian bersih paling kukuh pada Isnin bernilai RM221.7 juta.

 

Manakala pelabur runcit tempatan terus menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia, meskipun pada jumlah sederhana RM5.3 juta berbanding aliran keluar RM147.1 juta minggu sebelumnya.

 

Setakat ini, mereka telah menjual bersih RM660.6 juta.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak 31.6%, manakala pelabur runcit dan institusi tempatan menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak 2.2% dan 6.7%,” katanya.  - DagangNews.com