Pelabur asing kembali beli RM117 juta ekuiti tempatan | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing kembali beli RM117 juta ekuiti tempatan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan minggu lalu berjumlah RM117.05 juta, menurut laporan aliran dana MIDF Research. 

 

Apabila pasaran dibuka pada Selasa selepas cuti umum Hari Wilayah pada Isnin, pelabur asing membeli RM179.11 juta ekuiti. 

 

"Pelabur runcit dan institusi pula masing-masing menjual ekuiti berjumlah RM6.01 juta dan RM173.10 juta," katanya. 

 

Walaupun minggu lalu mencatatkan aliran masuk yang positif tetapi pasaran menyaksikan aliran keluar asing setiap hari kecuali Selasa. 

 

"Satu-satunya aliran masuk adalah sebanyak RM179.11 juta. Penjualan berterusan tidak mampu mengatasi aliran masuk pada Selasa," jelas firma itu. 

 

MIDF Research berkata, aliran keluar asing paling banyak direkodkan pada Jumaat berjumlah RM38.78 juta dan paling sedikit pada Rabu, RM4.9 juta. 

 

Keadaan ini, bagaimanapun, bertentangan dengan pelabur runcit yang mana mereka muncul sebagai pembeli bersih setiap hari minggu lalu kecuali Selasa. 

 

"Khamis merekodkan pembelian terbesar sebanyak RM105.81 juta dan paling rendah pada Rabu, RM49.52 juta," katanya.

 

Pelabur institusi pula merupakan penjual bersih ekuiti setiap hari minggu lalu berjumlah RM339.17 juta.

 

"Ia menyaksikan aliran keluar paling banyak pada Jumaat dengan dagangan terbesar sebanyak RM173.1 juta dan paling rendah, RM34.04 juta," katanya.

 

Sejak awal tahun ini, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli ekuiti tempatan berjumlah RM1.98 bilion. 

 

Katanya, pelabur institusi dan asing masing-masing menjual ekuiti terkumpul setakat ini berjumlah RM1.26 bilion dan RM720 juta. 

 

"Dari segi nilai dagangan harian purata, penyertaan pelabur runcit minggu lalu susut 14.55% manakala pelabur asing menurun 9.68% diikuti institusi, -19.85%," katanya. - DagangNews.com