Pelabur asing lupus RM336 juta ekuiti tempatan | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing lupus RM336 juta ekuiti tempatan

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mei - Pelabur asing terus menjual ekuiti Malaysia minggu lalu berjumlah RM336.37 juta. 

 

Bagaimanapun, ia lebih rendah berbanding RM376.5 juta bagi minggu sebelumnya.

 

MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan berkata, sebaik pasaran dibuka, sebanyak RM153.18 juta ekuiti dijual pelabur asing. 

 

Pelabur runcit dan institusi tempatan pula masing-masing membeli ekuiti berjumlah RM36.72 juta dan RM116.45 juta.

 

"Setiap hari kecuali Jumaat pelabur asing menjual ekuiti dengan aliran keluar asing tertinggi direkodkan pada Rabu, RM155.35 juta manakala paling rendah juga pada hari sama, RM1.46 juta. 

 

"Hanya RM11.92 juta direkodkan sebagai aliran masuk oleh pelabur asing," katanya hari ini. 

 

Bagi pelabur runcit, mereka membeli bersih ekuiti setiap hari dengan pembelian tertinggi direkodkan pada Khamis berjumlah RM143.39 juta dan terendah pada Rabu, RM28.84 juta.

 

Secara terkumpul, bagi minggu berakhir 7 Mei itu, pelabur runcit membeli bersih ekuiti sebanyak RM325.65 juta di Bursa Malaysia. 

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula secara terkumpul menyaksikan aliran masuk mingguan sebanyak RM10.72 juta. 

 

Pembelian ekuiti paling banyak direkodkan pada Isnin berjumlah RM116.45 juta manakala jualan ekuiti paling tinggi pada Khamis, RM105.08 juta. 

 

Menurut MIDF Research, sejak awal tahun ini, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan berjumlah RM6.33 bilion. 

 

"Pelabur institusi tempatan dan asing menjual bersih ekuiti masing-masing pada kadar RM3.13 bilion dan RM3.21 bilion," katanya. 

 

Dari segi penyertaan, nilai purata dagangan harian bagi pelabur runcit susut 10.23% minggu lalu manakala pelabur institusi tempatan dan asing masing-masing merekodkan peningkatan 13.77% dan 24.08%. - DagangNews.com