Pelabur asing paling banyak jual ekuiti Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing paling banyak jual ekuiti Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Malaysia menjadi satu-satunya negara yang menyaksikan penjualan ekuiti oleh pelabur asing pada minggu pertama tahun 2021 jika dibandingkan dengan pasaran sedang membangun di Asia Tenggara iaitu Thailand dan Filipina. 

 

Pelabur asing menjual sehingga -RM337.02 juta ekuiti Malaysia pada minggu lalu yang berakhir 8 Januari 2021, menurut MIDF Research. 

 

Jelas firma penyelidik itu, apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing telah menjual -RM852.52 juta ekuiti tempatan. 

 

Pelabur tempatan dan runcit pula masing-masing menyaksikan penjualan ekuiti sehingga RM493.30 juta dan RM359.23 juta. 

 

“Pelabur asing satu-satunya yang menjual ekuiti tempatan pada Isnin dan Rabu, dengan nilai aliran keluar terkumpul adalah -RM950.99 juta. 

 

“Jumlah aliran masuk tidak mampu menampung momentum penjualan pada minggu lalu. 

 

“Aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Jumaat bernilai RM435.51 juta dengan aliran masuk terendah pada Selasa, hanya bernilai RM41.78 juta,” jelas MIDF dalam nota kajiannya hari ini.

 

Pada tempoh berkenaan, pelabur runcit merupakan pembeli aktif kecuali pada hari Selasa dan Jumaat, kata MIDF. 

 

Sementara itu, pasaran tempatan menyaksikan pelabur institusi menjual ekuiti tertinggi kecuali pada Isnin dan Rabu.

 

Tambah MIDF, jualan tertinggi dicatatkan pada hari Jumaat bernilai -RM428.88 juta dan pembelian terbesar pada Isnin (RM359.23 juta). 

 

“Secara keseluruhannya, pada minggu pertama 2021, pelabur runcit mengakhiri dagangan sebagai pembeli terbesar bernilai RM699.70 juta, manakala pelabur institusi tempatan dan asing pula masing-masing menjual ekuiti terbesar iaitu -RM362.68 juta dan -RM337.02 juta. 

 

Tiga syarikat utama yang menyaksikan aliran masuk tertinggi adalah Hartalega Holdings Berhad (RM8.16 juta), Tenaga Nasional Berhad ( RM4.74 juta) dan Kossan Rubber Industries Berhad (RM3.52 juta).

 

Sebaliknya, Top Glove Corporation Berhad (-RM23.83 juta), Genting Berhad (–RM4.66 juta) dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (–RM3.02 juta) menyaksikan aliran keluar tertinggi. - DagangNews.com