Pelabur boleh berdagang dalam kontrak Niaga Hadapan Emas mulai 19 September ini | DagangNews Skip to main content

Pelabur boleh berdagang dalam kontrak Niaga Hadapan Emas mulai 19 September ini

KUALA LUMPUR 15 Sept - Bursa Malaysia Derivatives Bhd. akan melancarkan kontrak Niaga Hadapan Emas (FGLD) yang dipertingkatkan pada 19 September ini, berikutan penggantungannya pada Mac 2021 untuk membolehkan semakan spesifikasi kontrak.

 

Rombakan kontrak FGLD adalah sebahagian daripada usaha bursa untuk menyediakan pelabur pendedahan segera kepada pergerakan harga emas antarabangsa dan membolehkan mereka merebut peluang dagangan yang lebih besar di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran emas.

 

Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd., Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pengenalan FGLD yang dipertingkatkan itu adalah tepat pada masanya, memandangkan ketidaktentuan pasaran semasa di mana pelabur cenderung beralih kepada pilihan pelaburan yang lebih selamat.

 

Katanya, Niaga Hadapan Emas akan menyediakan saluran dagangan alternatif kepada pelabur domestik, yang boleh mendorong lagi daya tarikan pasaran derivatif Malaysia.

 

“Bursa Malaysia Derivatives akan terus meningkatkan penawaran produknya tawaran untuk memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah dan membantu peserta pasaran menangani cabaran dalam persekitaran yang mencabar," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

FGLD yang dipertingkatkan ialah kontrak dalam penyelesaian tunai yang disebut harga dalam dolar AS (USD) dan diselesaikan dalam ringgit Malaysia (RM) berdasarkan pengganda tetap 40, yang daripadanya nilai penyelesaian akhir serta untung rugi diperoleh.

 

Nilai penyelesaian akhir tidak lagi memerlukan sebarang pelarasan kadar tukaran asing memandangkan pengganda tetap kontrak itu sudah berfungsi sebagai kadar untuk mengira nilai kontrak ringgit.

 

Harga penyelesaian akhir kontrak FGLD yang dipertingkatkan ditentukan oleh London AM Fix Price, yang merupakan harga penanda aras emas yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

 

Sementara itu, Pemangku Pengarah Bursa Malaysia Derivatives, Mohd Saleem Kader Bakas berkata, dengan spesifikasi kontrak yang dipertingkatkan, FGLD adalah sejajar dengan konvensyen global, di mana emas didagangkan dalam dolar AS. 

 

Katanya, ini memberikan pelabur pendedahan kepada penetapan harga standard emas antarabangsa tanpa memerlukan penukaran mata wang yang sepadan kerana penggunaan pengganda kontrak. 

 

"Oleh itu, kami berharap dapat melihat peningkatan penyertaan dalam pasaran derivatif, terutamanya daripada pelabur runcit yang berdagang dalam Niaga Hadapan Emas, sebagai alternatif kepada memegang aset fizikal untuk melindungi pelaburan mereka daripada kenaikan kadar inflasi," jelasnya. - DagangNews.com