Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Faktor utama para pelabur tidak meningkatkan pemegangan saham mereka di dalam bank-bank disebabkan oleh kebimbangan terhadap kualiti aset dalam institusi kewangan itu.
Kualiti aset dalam konteks ini merujuk kepada nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL).
Hasil tinjauan ‘banking roadshow’ oleh CGS-CIMB Research mendapati para pelabur bimbang sekiranya nisbah GIL meningkat pada separuh tahun pertama 2021 (1H21) diikuti pula penamatan moratorium pinjaman bersasar.
Peningkatan nisbah GIL bergantung tinggi terhadap keadaan ekonomi ketika itu, menurut pandangan CGS-CIMB.
“Ahli ekonomi CGS-CIMB menjangkakan ekonomi pulih menjelang 2021 dengan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.5%. Pemulihan ekonomi pada tahun hadapan dapat mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan pendapatan perniagaan.
“Ahli ekonomi kami menjangkakan kadar pengangguran Malaysia menguncup daripada 5% pada 2020 kepada 4% pada 2021. Ini dapat mengehadkan peningkatan nisbah GIL apabila moratorium pinjaman bersasar berakhir pada 1H21,” kata GCS-CIMB dalam nota kajiannya.
Nisbah GIL industri bank merudum daripada 1.53% pada Disember 2019 ke paras terendah pada penghujung Ogos 2020 (1.4%).
Ini didorong oleh langkah moratorium pinjaman yang ditawarkan oleh bank-bank kepada peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bermula 1 April hingga 30 September 2020.
Mengambil kira risiko penularan COVID-19, CGS-CIMB menjangkakan nisbah GIL meningkat daripada 1.4% kepada 1.7% pada penghujung Disember 2020 seterusnya 2% (Disember 2021).
Tambah CGS-CIMB, Public Bank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad bakal berdepan risiko peningkatan nisbah GIL yang paling sedikit dibantu oleh langkah kelulusan pinjaman dan kawalan kredit yang ketat. - DagangNews.com