Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Pasaran ekuiti tempatan dikuasai pelabur runcit bagi minggu berakhir 31 Disember 2020 dengan membeli bersih ekuiti sebanyak RM196.5 juta, peningkatan 501% berbanding 2 minggu sebelum itu.
Ini menjadikan setakat Disember lalu, pembelian ekuiti oleh pelabur runcit meningkat 344% kepada RM1.7 bilion.
Penganalisis CGS-CIMB Research, Ivy Ng Lee Fang berkata, nilai dagangan pelabur runcit merangkumi 41% pada minggu lalu diikuti pelabur institusi (20%), dagangan hak milik (18) dan penama (21%).
"Pelabur runcit kekal optimistik terhadap prospek pasaran tempatan. Bagi minggu berakhir 25 Disember, mereka membeli ekuiti sebanyak RM39.2 juta.
"Pada Disember, mereka merupakan pembeli utama saham Top Glove, Public Bank dan Supermax dan menjual saham CIMB, Maybank dan Press Metal," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi minggu berakhir 31 Disember, indeks FBM KLCI merosot pada hari terakhir dagangan 2020, menjelangnya pelaksanaan semula jualan kawalan singkat (RSS) pada 1 Januari 2021.
Ini menyaksikan indeks utama itu jatuh 14.5 mata atau 0.9% minggu lalu. Jumlah purata dagangan harian pula meningkat 5% minggu ke minggu kepada 7.9 juta unit tetapi nilai purata dagangan mendatar pada RM3.76 bilion.
Pelabur asing pula muncul pembeli bersih bagi minggu kedua berturut-turut walaupun aliran pembelian bersih jatuh kepada RM8.7 juta minggu lalu berbanding RM224 juta minggu sebelumnya, kemungkinan disebabkan cuti panjang hujung tahun.
"Apa yang menariknya, saham FGV menjadi pilihan pelabur asing pada minggu lalu selepas Felda mengumumkan pengambilalihan FGV dengan tawaran harga RM1.30 sesaham pada 22 Disember 2020," katanya.
Setakat ini, menurut Lee Fang, pelabur asing dan hak milik masing-masing telah menjual RM24.6 bilion dan RM200 juta ekuiti, mengimbangi pembelian bersih pelabur runcit sebanyak RM14.3 bilion, pelabur institusi (RM8.2 bilion) dan penama (RM2.3 bilion).
Pasaran minggu lalu juga menyaksikan pelabur-pelabur lebih cenderung memilih saham berkaitan pemulihan daripada pandemik COVID-19 iaitu pengangkutan, teknologi, tenaga dan pembinaan.
Kaunter-kaunter berkaitan penjagaan kesihatan pula paling lemah dengan merosot 2.7% minggu ke minggu diikuti perladangan (1.5%) dan REIT (1.2%). - DagangNews.com