Pelabur yakin terhadap pentadbiran PM Ismail Sabri dorong KDNK tumbuh 14.2% - Ketua Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Pelabur yakin terhadap pentadbiran PM Ismail Sabri dorong KDNK tumbuh 14.2% - Ketua Pakar Ekonomi

EKSKLUSIF oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 15 Nov –  Pentadbiran negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub berjaya mengekalkan kestabilan makro ekonomi Malaysia yang memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menarik pelaburan langsung luar negara (FDI) dalam jumlah rekod, kata Ketua Pakar Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed.

 

Katanya, sektor perdagangan telah mencecah RM257 bilion setakat 30 Sept 2022, isyarat positif kepada pelabur global.

 

“Pencapaian KDNK pada suku ketiga Malaysia kali ini sangat mengagumkan.  

 

“Untuk mempunyai kadar pertumbuhan KDNK sebanyak 14.2% dalam keadaan yang mencabar ini apabila banyak ekonomi seperti UK, Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat sedang bergelut adalah wajar diberi perhatian dan positif untuk negara, katanya kepada DagangNews.com. hari ini.

 

Shan berkata demikian ketika mengulas tentang Kadar KDNK suku ketiga negara yang meningkat kepada 14.2 peratus dalam keadaan ekonomi dunia yang amat mencabar.

 

Katanya, prestasi ekonomi ini mencerminkan komitmen penuh kerajaan pimpinan Ismail Sabri dalam menyampaikan hasil ekonomi untuk manfaat orang ramai di peringkat makro.

 

“Pada pendapat saya, Kerajaan pimpinan beliau telah menggunakan dengan berkesan dasar monetari dan fiskal untuk mencatat KDNK kukuh yang lebih tinggi daripada jiran utara dan selatan negara.

 

“Purata KDNK berada pada 9.36%, lebih tinggi daripada 27 negara Eropah, 15 negara Afrika dan dua negara Amerika Utara,” jelas Shan.



 

Shan Saeed
                                                      Shan Saeed

 

 

Katanya, Kerajaan telah mengekalkan kestabilan makroekonomi kepada jumlah perdagangan dan perdagangan yang kukuh iaitu jumlah perdagangan Malaysia terus mencatat pertumbuhan dua angka pada September 2022, berkembang sebanyak 31.4 peratus, mencecah RM256.9 bilion berbanding RM195.5 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Shan berkata eksport meningkat sebanyak 30.1 peratus kepada RM144.3 bilion pada September 2022. Import berjumlah RM112.6 bilion meningkat sebanyak 33.0 peratus tahun ke tahun (y-o-y).

 

Imbangan perdagangan terus mencatat lebihan, dengan nilai RM31.7 bilion, meningkat 20.9 peratus daripada tahun sebelumnya.

 

Menurut Shan, Malaysia terus kekal dalam radar pelabur global berikutan prestasi ekonominya yang kukuh dan trajektori pertumbuhan kukuh di rantau ini.

 

Sebelum ini, ekonomi Malaysia meneruskan momentum pemulihan ekonomi, merekodkan pertumbuhan yang lebih pesat sebanyak 14.2% pada suku ketiga 2022 (S3 2022) berbanding 8.9% pada suku kedua dan 5% pada suku pertama.

 

Pertumbuhan KDNK yang kukuh disumbangkan oleh permintaan dalam dan luar negara serta pasaran buruh yang memberangsangkan.

 

Perkembangan ini turut dipacu oleh prestasi menggalakkan dalam semua sektor ekonomi diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

 

Pertumbuhan S3 2022 ini turut disokong oleh pelaksanaan langkah Bajet 2022 serta kesan limpahan daripada peralihan kepada fasa endemik yang mendorong aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak.

 

Secara keseluruhan, KDNK meningkat sebanyak 9.3% pada sembilan bulan pertama 2022.


 

DOSM

 


Antara indikator ekonomi yang telah menunjukkan trend pertumbuhan adalah:

  • Pasaran buruh mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 3.7% pada S3 2022 (S2 2022: 3.9%).
     
  • Trend penurunan ini dijangka berterusan sehingga akhir 2022 selaras dengan pelaksanaan dan penerusan pelbagai program penstabilan pekerjaan serta prospek perniagaan yang lebih baik.
     
  • Permintaan domestik terus dipacu oleh penggunaan swasta dan keyakinan perniagaan yang kekal positif. Indeks Sentimen Pengguna (CSI) oleh MIER meningkat kepada 98.4 mata pada S3 2022 (S2 2022: 86.0 mata).

 

Sementara itu, Statistik Kecenderungan Perniagaan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan indikator keyakinan sebanyak 4.7% (S2 2022: 3.5%).

 

Secara keseluruhan, sentimen tersebut digambarkan melalui peningkatan nilai jualan sektor pembuatan yang kukuh sebanyak 19.5% kepada RM161.7 bilion serta jualan perdagangan borong dan runcit yang berkembang sebanyak 23.9% kepada RM134.0 bilion pada September 2022.

 

Jumlah ketibaan pelancong turut meningkat kepada 3.2 juta bagi Januari hingga Julai 2022 berbanding tempoh yang sama tahun lepas (Januari - Julai 2021: 0.06 juta). - DagangNews.com