KUALA LUMPUR 22 Sept - Syarikat usaha sama yang akan dibentuk antara Apex Healthcare Bhd. dan Shanghai Pharmaceutical Import & Export Co Ltd akan mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak, demikian menurut AmInvestment Bank Research.
Semalam, Apex Healthcare menerusi anak syarikat milik penuhnya di Singapura, First SGC Pte Ltd (FSGC) melanggan 40% kepentingan dalam syarikat usaha sama dengan Shanghai Pharmaceutical pada harga S$1.2 juta (RM3.9 juta).
Shanghai Pharmaceutical, yang merupakan anak syarikat milik penuh Shanghai Pharmaceuticals Holding Co. Ltd., (SPH) pula akan memiliki baki 60% daripada syarikat usaha sama itu.
Firma itu berkata, pelaburan Apex Healthcare dalam usaha sama itu dilihat tidak memberi sebarang kesan pendapatan jangka pendek yang ketara memandangkan skala pelaburan yang agak kecil.
Katanya, dengan pelaburan sebanyak RM3.9 juta itu, ia hanya menyumbang 0.3% kepada pasaran modal semasa kumpulan.
"Namun, kami positif dengan cadangan usaha sama ini kerana membolehkan Apex Healthcare memasuki pasaran SPH bagi produk farmaseutikal inovatif dan kepakaran pembuatan.
"SPH pula boleh memanfaatkan kemudahan perkilangan yang diperakui Amalan Pengilangan Baik Kesatuan Eropah (EU-GMP) Apex Healthcare serta akses pasarannya yang mantap dalam pasaran ASEAN, terutama di Malaysia dan Singapura," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Apex Healthcare langgan 40% kepentingan dalam syarikat usaha sama Shanghai Pharmaceutical pada harga RM3.9 juta
SPH merupakan salah satu kumpulan farmaseutikal terkemuka di China yang mempunyai dua penyenaraian di Shanghai dan Hong Kong dengan pasaran modal semasa sebanyak HK$62 bilion (RM36 bilion).
Pada jumlah itu, ia adalah 23 kali ganda lebih tinggi berbanding pasaran modal Apex Healthcare sebanyak RM1.6 bilion.
Secara dasarnya, SPH terlibat dalam penyelidikan & pembangunan (R&D), pembuatan, pengedaran dan peruncitan (terutamanya farmasi dan kedai ubat).
Menurut AmInvestment, perjanjian langganan dan pemegang saham (SSA) yang dimeterai antara FSGC dengan Shanghai Pharmaceuticals dijangka diselesaikan dalam tempoh enam bulan sementara menunggu kelulusan pihak berkuasa kawal selia China mengenai pelaburan dan penghantaran dana serta prosedur biasa yang lain.
"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pendapatan kami terhadap Apex Healthcare buat masa ini. Kami juga mengekalkan saranan 'beli' dengan nilai wajar tidak berubah pada RM3.73 sesaham," katanya.
Setakat 11.56 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM3.26 dengan 14,700 saham diniagakan. - DagangNews.com