Pelaburan Konvensional atau Syariah: Mana lebih menguntungkan? | DagangNews Skip to main content

Pelaburan Konvensional atau Syariah: Mana lebih menguntungkan?

Oleh AMALIN NADZIR

SESETENGAH pihak beranggapan pelaburan konvensional akan membawa pulangan yang lebih besar. Tetapi adakah pendapat ini boleh diterima atau sebaliknya?

 

Perkara utama yang membezakan ialah kewujudan unsur yang dilarang dalam agama Islam. Allah SWT mengharamkan riba ke atas hamba-Nya.

 

Ini jelas berdasarkan surah Al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli dan mengharamkan riba”.

 

Selain itu, elemen gharar iaitu ketidakpastian yang meragukan serta elemen judi perlulah dijauhi bagi memperoleh keredaan-Nya.

 

Produk pelaburan yang ditawarkan oleh institusi konvensional adalah dibimbangi mengandungi elemen tersebut.

 

Berbeza dengan produk pelaburan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islamik, ianya terjamin selari dengan Syariat Islam kerana berasaskan maqasid syariah, ekonomi Islamik, serta beretika.

 

Ia juga mampu menyumbang kepada ‘ekonomi sebenar’ selari dengan inisiatif Bank Negara Malaysia iaitu Pengantaraan Berasaskan Nilai atau 'Value Based Intermediation'.


 

BNM

 


Prinsip-prinsip ini menjadikan produk pelaburan Islam yang ditawarkan adalah lebih berdaya tahan, pelbagai dan mampan berbanding pelaburan konvensional, yang mungkin melibatkan leveraj yang berlebihan, hutang, perjudian atau industri berbahaya.

 

Di samping itu, produk pelaburan Islamik adalah pelbagai menjadikan ia sesuai dengan profil risiko dan matlamat pelaburan pelanggan.

 

Pelanggan boleh memilih untuk melabur dalam pelaburan berisiko tinggi atau rendah dimana pulangannya adalah setimpal dengan risiko.

 

Maka formula yang dapat disimpulkan adalah, semakin tinggi kadar risiko, semakin tinggi jugalah kadar pulangannya.

 

Berbeza pula dengan pelaburan konvensional yang pulangannya diberikan dalam bentuk dividen atau faedah tetap. Pelanggan akan menghadapi risiko wang yang dilaburkan “lebur” dalam industri yang haram.

 

Pelanggan bakal ditawarkan pelaburan yang mengaplikasikan kontrak berkonsepkan Syariah iaitu kontrak wakalah, mudarabah dan musyarakah.

 

Maka, pelanggan boleh membuka akaun pelaburan tanpa ragu kerana produk-produk tersebut diperiksa dan telah diperhalusi oleh penasihat-penasihat Syariah di peringkat perbankan.


 

parafrasa


 

Bagi kontrak wakalah, keuntungan akan diberikan setelah mengambilkira pembayaran yuran perwakilan dan insentif kepada instutusi kewangan yang menguruskan seperti yang dipersetujui.

 

Mudarabah pula sering menjadi pilihan pelanggan adalah berkonsepkan perkongsian untung dan penanggungan rugi.

 

Nisbah keuntungan akan dipersetujui oleh penyedia modal (rabbul mal) dan usahawan (mudarib) manakala kerugian ditanggung sepenuhnya oleh pemilik dana. Sementara kontrak musyarakah adalah perkongsian untung dan rugi.

 

Penekanan terhadap prinsip keadilan dan perkongsian risiko adalah perkara yang membezakan pelaburan Islam dengan konvensional. Ia memupuk sistem yang sejajar dengan prinsip Islam sekaligus menggalakkan kebajikan sosio-ekonomi disamping mencari pulangan kewangan.

 

Sebagai rumusan, Islam tidaklah menghalang kita daripada mencari kekayaan di dunia, malahan umatnya disarankan untuk mencari harta dengan cara yang halal serta menjauhkan diri daripada terlibat dalam belenggu riba, judi dan gharar.

 

Perkara yang perlu dibimbangi ialah harta tersebut menjadi kerugian buat kita di alam akhirat kelak. Setelah itu, harta perlulah diuruskan dengan baik dan bijak.

 

Islam mengajarkan bahawa harta adalah kurniaan Allah. Ia bukanlah sekadar untuk kepentingan diri, malahan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi yang berterusan selari dengan Syariat Islam. - DagangNews.com

 

Amalin Nadzir adalah mahasiswi Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia