KUALA LUMPUR 31 Julai - Beberapa pelajar Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun di sini menzahirkan penghargaan kepada pelajar-pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menyetai program mobiliti pelajar ‘Putra Madani Outreach Innovation Technology Japan 2023’.
Pelajar dari Jepun itu menyifatkan pelajar UPM berkenaan sebagai sangat mesra, tinggi nilai persahabatan dan bijak berkomunikasi.
Pelajar ijazah pertama Kyutech, Takeru Tanaka, 21, berkata, pelajar Malaysia sentiasa ceria dan peramah jika dibandingkan dengan pelajar Jepun yang lebih pemalu.
"Mereka berkomunikasi dengan positif dan bijak. Saya berharap program pertukaran pelajar pelajar Jepun ke UPM pada November ini akan disertai pelajar Malaysia yang sama," katanya dalam kenyataan media di sini.
Tanaka bercadang menyambung pengajian ke UPM kelak kerana Malaysia agak popular pada masyarakat Jepun sebagai sebuah negara unik dengan pelbagai etnik dengan alam semula jadi yang cantik.
Sementara itu pelajar peringkat sarjana, Ueda Hisaki, 22, pula berkata, pelajar Malaysia aktif berkomunikasi dan bersifat terbuka dengan pelajar Jepun.
"Mereka nampak pintar, sentiasa gembira dan bersifat mesra dalam tugasan berkumpulan yang diberikan," katanya yang amat gembira dengan pendekatan pelajar UPM itu.
Pelajar jurusan Kimia Gunaan, Toyoda Yukino, 20, menyifatkan pelajar Malaysia mementingkan nilai persahabatan, bersifat lemah lembut, tenang dan sabar.
"Mereka juga aktif bercakap dan suka bergaul dengan orang sekeliling. Ia berbeza dengan masyarakat Jepun yang agak pemalu," katanya.
Sementara itu pengarah program tersebut, Muhammad Ikram Marozan berkata, mereka memilih Jepun untuk program mobiliti kerana etika kerja, mutu kerja serta disiplin tinggi mereka yang wajar dicontohi.
Katanya, pelajar UPM ibarat duta yang membawa nilai-nilai murni gagasan Malaysia MADANI seiring dengan nilai-nilai murni Jepun yang wajar dicontohi seperti menepati masa, komited kepada tugas dan menepati janji.
Menurut sarjana UPM, Ahmad Shukry Yahya, program itu bertujuan mengembangkan ilmu dan kemahiran pelajar UPM dengan kemajuan teknologi hijau di Jepun melalui kerjasama UPM dengan Kyutech yang melibatkan pertukaran 1,322 pelajar sejak 2012. - DagangNews.com