Pelaksanaan Cukai Makmur bakal jejaskan pendapatan TK22 IHH Healthcare | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan Cukai Makmur bakal jejaskan pendapatan TK22 IHH Healthcare

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30Nov - Pendapatan IHH Healthcare Bhd (IHH) bagi tahun kewangan 2022 (TK22) dan 2023 (TK23) dijangka terjejas oleh pengenalan Cukai Makmur dan pengeluaran pengecualian cukai ke atas pendapatan sumber asing berkuat kuasa Januari 2022. 

 

Public Investment Bank berkata, susulan itu, ramalan TK22 & TK23 dikurangkan sebanyak 2-4%. 

 

"Walau bagaimanapun, untuk TK21, kami meningkatkan unjuran sebanyak 15% disebabkan oleh andaian hasil yang lebih tinggi dan perbelanjaan operasi yang lebih rendah," katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

 

IHH mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM1,154 juta pada 9 bulan TK21 mewakili pertumbuhan kukuh sebanyak 236% tahun ke tahun, terutamanya disebabkan oleh kesan asas yang rendah kerana operasinya terjejas teruk pada tempoh sama tahun lalu, memandangkan pelaksanaan sekatan pergerakan dalam pasaran utamanya. 

 

"Ia merekodkan hasil melebihi anggaran kami dan konsensus masing-masing pada 93% dan 85% daripada ramalan tahun penuh dan percanggahan dalam ramalan kami adalah disebabkan terutamanya oleh perbelanjaan operasi yang lebih rendah daripada jangkaan dan hasil yang lebih tinggi," katanya.

 

IHH merekodkan pertumbuhan dalam hasil suku ketiga TK21 sebanyak 26% tahun ke tahun kepada RM4.4 bilion. 

 

Hasil kukuh yang dilaporkan pada suku semasa adalah disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan dalam intensiti hasil tahun ke tahun merentas semua lokasi geografi Singapura 5.8%, Malaysia 25.1%, India 3.2% dan Acibadem 21.7%.

 

"Ini disebabkan oleh bilangan kes kompleks yang lebih tinggi yang dilakukan dan semakan harga yang lebih tinggi dalam Acibadem untuk memerangi inflasi serta sumbangan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan berkaitan COVID-19 yang menyumbangkan antara 6% hingga 29% daripada hasil suku ketiga TK21 pasaran tempatan masing-masing. 

 

"Di samping itu, kemasukan Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) dan Bel Medic (DDRC SRL) turut menyumbang kepada peningkatan hasil," katanya.

 

Firma penganalisis itu menaikkan harga sasaran saham IHH daripada RM6.80 sesaham kepada RM7.50 sesaham dan mengekalkan panggilan 'Outperform'. -DagangNews.com