Pelaksanaan dasar sistem gaji progresif tidak selesaikan masalah PKS - SAMENTA | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan dasar sistem gaji progresif tidak selesaikan masalah PKS - SAMENTA

Jika Dasar Gaji Progresif tidak dilaksanakan dengan teliti, akan memburukkan lagi keadaan dan membawa lebih masalah kepada PKS. - Gambar Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Dasar Gaji Progresif (PWM) dilihat tidak akan menyelesaikan masalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjerat dalam perangkap pendapatan dan nilai tambah rendah, menurut Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA).

 

Presidennya, Datuk William Ng berkata, jika PWM tidak dilaksanakan dengan teliti, akan memburukkan lagi keadaan dan membawa lebih masalah kepada PKS.

 

Katanya, walaupun pihaknya mahu PWM diberi peluang untuk dijayakan, ia bukanlah ramuan ajaib yang akan menaikkan gaji rakyat Malaysia tanpa sebarang kesan negatif kepada industri dan ekonomi.

 

"Walaupun SAMENTA menyokong PWM untuk meningkatkan gaji rakyat Malaysia, kami merayu supaya kerajaan melaksanakan PWM ini dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan daya saing dan kelangsungan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan mikro," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Ng, pihaknya belum dijemput untuk sebarang perbincangan atau sesi libat urus sama ada oleh Kementerian Ekonomi atau Majlis Tindakan Ekonomi Negara, walaupun merupakan persatuan PKS tertua dan terbesar di negara ini dan telah menyuarakan kebimbangan mengenai PWM. 

 

"Kami berharap menteri dinasihatkan secukupnya oleh pihak berkepentingan lain mengenai risiko dan cabaran dalam melaksanakan PWM di Malaysia," katanya.

 

Katanya, di Singapura, yang mana model itu mendapatkan kejayaan terhad, PWM tidak diperluaskan ke sektor lain selain beberapa sektor awal walaupun telah dilaksanakan selama satu dekad. 

 

 

samenta
Datuk William Ng

 

 

"Singapura turut menyokong sistem PWM ini dengan subsidi yang besar dan skim peningkatan kemahiran yang sebahagian besarnya dibayar oleh kerajaan. Singapura juga tidak mempunyai dasar gaji minimum, tidak seperti Malaysia.

 

"Ia juga mungkin lebih mudah untuk melaksanakan PWM di negara seperti Singapura, yang mana majoriti pekerja telah menjalani latihan khidmat negara, dan biasa dengan konsep kemajuan kerjaya, latihan berterusan dan peningkatan produktiviti. Terdapat juga sokongan meluas untuk industri di dalam pembangunan kemahiran dan transformasi industri.

 

"Jika kerajaan tegas untuk melaksanakan PWM secara meluas, adakah kita juga bersedia untuk mengetepikan dana substantif sebagai subsidi kepada majikan, terutamanya PKS untuk melaksanakan model tersebut?," soalnya.

 

Katanya, kos pelaksanaan PWM jauh melangkaui gaji tambahan, tetapi juga merangkumi kos latihan, pentadbiran dan pematuhan, yang akan mengubah struktur kos kebanyakan PKS. 

 

"Adakah kerajaan bersedia untuk memberi subsidi sehingga 75% daripada perbezaan gaji, seperti yang diamalkan di Singapura, dan membiayai latihan yang diperlukan untuk meningkatkan kemahiran pekerja untuk naik ke peringkat seterusnya?

 

"Sebarang langkah untuk menaikkan gaji mesti dikaitkan dengan pertumbuhan produktiviti buruh. Itu adalah asas kepada model gaji minimum yang kita amalkan," katanya.

 

Katanya, gaji minimum telah meningkat daripada RM900 (di Semenanjung Malaysia) pada 2013 kepada RM1,500 pada 2023 yang mana kenaikan sebanyak 67%, manakala produktiviti buruh cuma meningkat sebanyak 25% dalam tempoh yang sama.

 

"Secara umumnya, PKS kita masih dalam perangkap pendapatan dan nilai tambah rendah, mengakibatkan margin keuntungan nipis yang menyumbang sebahagian besar kegagalan perniagaan semasa pandemik sebelum ini.

 

"Tiada pemilik PKS mahu membayar gaji rendah atau menganiaya pekerja, kerana ini bermakna kehilangan pekerja tersebut dan membawa risiko kepada perniagaan. Masalahnya adalah bersifat struktur," katanya.

 

Tambah beliau, banyak PKS wujud untuk memberi perkhidmatan kepada syarikat yang lebih besar, yang menyumber luar kerja mereka yang lebih intensif buruh, seperti pembersihan, pembungkusan dan pengangkutan kepada PKS. 

 

"Hasilnya, produktiviti buruh PKS adalah 30% lebih rendah daripada syarikat yang lebih besar. PWM akan memberi kesan yang lebih ketara kepada PKS berbanding syarikat yang lebih besar," katanya. - DagangNews.com