Pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api dijangka jejas jualan kereta kepada golongan M40 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api dijangka jejas jualan kereta kepada golongan M40 - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api dijangka menjejaskan jualan kereta kepada pasaran golongan pertengahan (M40).

 

Kenanga Research berkata, golongan M40 mungkin mengelak daripada membeli kereta baharu atau beralih kepada kenderaan lebih kecil bagi mengurangkan perbelanjaan bahan api mereka.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan optimis terhadap jualan kenderaan dalam segmen mampu milik kerana pembeli iaitu kumpulan B40 yang merupakan sasaran utamanya akan terhindar daripada kesan rasionalisasi subsidi.

 

Selain itu, golongan itu juga dijangka menerima manfaat daripada pengenalan model gaji progresif.

 

"Kami percaya kereta baharu masih merupakan kemewahan mampu milik bagi kebanyakan isi rumah Malaysia walaupun inflasi yang tinggi dan ekonomi global yang perlahan.

 

"Keadaan itu disokong harga kereta baharu yang lebih stabil, kos sewa beli yang berpotensi lebih rendah dan model kereta baharu yang lebih menarik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, keterlihatan pendapatan industri masih baik, disokong oleh tempahan tertunggak sebanyak 200,000 unit pada akhir Februari 2024.

 

Katanya, lebih separuh daripada tunggakan itu terdiri daripada model baharu dan trend itu dijangka berterusan sepanjang tahun ini memandangkan barisan pelancaran model baharu yang kukuh.

 

"Sementara itu, keterujaan semakin meningkat dalam segmen kenderaan elektrik (EV) dengan pelancaran baharu BYD Seal dan Tesla Model 3 Highland dengan jangkaan pengenalan EV nasional pertama buatan tempatan (iaitu Perodua dan Proton) pada 2025," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'Neutral' kepada sektor automotif dengan pilihan utama ialah MBM Resources Berhad. 

 

Katanya, ini berikutan pendapatan MBM Resources yang diunjur kukuh disokong oleh pesanan tertunggak kenderaan Perodua sebanyak 120,000 unit iaitu hampir separuh daripada sasaran jualan 2024 sebanyak 340,000 unit.

 

MBM Resources menjadi proksi yang baik kepada jenama Perodua  serta memiliki 23%  pegangan dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd di samping memberikan hasil dividen yang menarik kira-kira 9%," jelasnya.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan unjuran TIV tahun 2024 pada 710,000 unit. - DagangNews.com