Pelan Pembangunan Strategik NCER bakal wujudkan lebih 160,000 peluang pekerjaan | DagangNews Skip to main content

Pelan Pembangunan Strategik NCER bakal wujudkan lebih 160,000 peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Lebih 160,000 peluang pekerjaan dijangka ditawarkan melalui Inisiatif Pelan Pembangunan Strategik (SDP 2021-2025) Wilayah Koridor Utara (NCER).

NCER berkata, selain peluang tersebut, pihaknya juga akan melahirkan lebih 42,000 individu dalam bidang usahawan.

"NCIA (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara) telah mencapai pelaburan direalisasi yang terkumpul berjumlah RM115.9 bilion hingga Julai 2020 dan mewujudkan 140,000 peluang pekerjaan di NCER.

"Selari dengan agenda pemulihan ekonomi kerajaan, perancangan dan strategi mantap telah dilaksanakan di NCER untuk terus menangani kesan pandemik COVID-19 dalam keperluan sosio-ekonomi rakyat," kata NCER dalam satu kenyataan hari ini.

SDP 2021-2025 adalah satu rangka kerja strategik yang menggabungkan perkembangan semasa di negeri-negeri NCER iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

SDP 2021-2025 yang menekankan pendekatan dinamik ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23 (PB23) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat yang dilangsungkan di Pulau Pangkor itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
 

aaa
MUHYIDDIN YASSIN menyampaikan Pelan Pembangunan Strategik (SDP 2021-2025) Wilayah Koridor Utara (NCER) kepada Chow Kon Yeow di Pulau Pangkor, hari ini.


Pelaburan terkumpul dijangka akan berkembang kepada RM146.5 bilion.

SDP juga selari dengan aspirasi kerajaan yang akan menjadi sumber yang sangat penting dalam menyokong dan memacu pemulihan ekonomi di wilayah berkenaan bagi mewujudkan dan mengekalkan pekerjaan kepada rakyat.

Sementara itu, beberapa projek lain seperti projek strategik, pelaburan berimpak tinggi dan program modal insan telah dibentuk untuk menyelesaikan keperluan semasa rakyat, perniagaan dan industri bagi mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

"Kerajaan Pusat telah sedia maklum dengan pelbagai cabaran sosio-ekonomi yang terpaksa dihadapi oleh negara dan berjanji akan mengatasi perkara tersebut melalui inisiatif yang dilaksanakan ini," tambah NCER - DagangNews.com