Pelan Perindustrian Perak sasar pelaburan bernilai RM47 bilion dalam tempoh 10 tahun, jadi pemangkin ekonomi negeri | DagangNews Skip to main content

Pelan Perindustrian Perak sasar pelaburan bernilai RM47 bilion dalam tempoh 10 tahun, jadi pemangkin ekonomi negeri

Kilang Proton di Tanjung Malim yang akan dibangunkan dalam projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 30 Nov - Pelaburan sebanyak RM47 bilion disasarkan negeri Perak dalam tempoh 10 tahun menerusi Pelan Perindustrian Perak (P3) yang berperanan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

 

Pelan yang dirancang InvestPerak itu memberi tumpuan pada beberapa sektor utama berteknologi tinggi sebagai pemangkin pertumbuhan pelaburan di negeri ini.

 

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, pelan tersebut akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan prestasi sektor perindustrian negeri Perak sehingga 2030.

 

Katanya, ia selari dengan aspirasi ‘Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030’ yang ditetapkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

MB
Saarani semasa hadir pada Majlis Penghargaan Pelabur 2023 dan pelancaran Pelan Perindustrian Perak di Hotel Casuarina.

 

“Pelan ini mensasarkan jumlah keseluruhan pelaburan bernilai RM47 bilion bagi tempoh 10 tahun di mana beberapa sektor utama berteknologi tinggi diberi tumpuan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan di negeri Perak.

 

“Antaranya sektor elektrikal dan elektronik (E&E), automotif dan komponen serta kenderaan elektrik (EV), industri berasaskan mineral, bioteknologi, peranti perubatan dan lain-lain sektor yang berkaitan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pelabur 2023 dan Majlis Pelancaran P3 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di sini.

 

Hadir sama Ketua Setiausaha MITI, Dato’ Hairil Yahri Yaacob dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee.

 

Mb

 

Ujar Saarani lagi, semua sektor telah dikenal pasti dalam mengetengahkan negeri Perak sebagai sebuah negeri maju dan berdaya saing.

 

“Kesemua sektor tersebut bukan sahaja berkeupayaan menarik pelaburan berteknologi tinggi, malah turut membangunkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing di peringkat global.

 

“Menerusi pelan ini juga, kadar KDNK bagi negeri Perak disasarkan bernilai RM123 bilion menjelang tahun 2030 yang mana sektor perindustrian disasarkan menyumbang sebanyak 25% dengan nilai mencecah RM30.9bilion,” ujarnya.- DagangNews.com