KUALA LUMPUR 17 Feb - Maybank Investment Bank (IB) Research mengekalkan penarafan saham UEM Sunrise Bhd. dengan saranan 'pegang' pada harga sasaran 35 sen memandangkan unjuran pendapatan kumpulan kekal tidak berubah.
Ini memandangkan syarikat pemaju hartanah ini dijangka mengeluarkan prestasi kewangan suku keempat berakhir 31 Disember 2021 pada 23 Februari ini.
"Kejutan yang berlaku mungkin datang daripada penyambungan pembayaran semula dividen mulai 2022 dan seterusnya.
"UEM Sunrise tidak membuat sebarang bayaran dividen sejak 2016 walaupun mempunyai polisi pembayaran dividen sebanyak 20 hingga 40% daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang direalisasikan," katanya dalam nota kajian.
Menerusi taklimat dengan UEM Sunrise baru-baru ini, Maybank IB berkata, kumpulan menyasarkan untuk kembali untung pada 2022 setelah mencatat prestasi kurang memuaskan pada 2020 dan 2021 apabila ia melaporkan kerugian.
Sasaran itu disokong jualan yang lebih kukuh dan kemajuan pembayaran serta hasil penjualan tanah.
"Ia menyasarkan untuk melupuskan bank tanah bukan teras bernilai RM300 juta pada tahun ini," tambahnya.
Menurut firma itu, kumpulan meletakkan sasaran jualan hartanah yang mendatar tahun ini sebanyak RM1.5 bilion, berbanding RM1.46 bilion pada 2021.
Ini akan dipacu menerusi pelancaran baharu bernilai RM3.3 bilion dengan kebanyakan projek di Lembah Klang, diikuti Johor dan Melbourne, Australia.
"Bagi projeknya di Collingwood, Melbourne, ia akan dilancarkan pada separuh kedua 2022 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) AUD250 juta.
"Walaupun Kempen Pemilikan Rumah (HOC) berakhir Disember lalu, tetapi ia menyaksikan sambutan menggalakkan bagi projek-projek hartanahnya di Lembah Klang kerana kumpulan menggerakkan kempen pemasaran yang agresif," jelasnya.
Setakat 12.13 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 0.05 sen atau 1.52% kepada 33.5 sen dengan 381,300 saham diniagakan. - DagangNews.com