Pelancaran Nissan Almera, Navara kekuatan baharu Tan Chong Motor | DagangNews Skip to main content

Pelancaran Nissan Almera, Navara kekuatan baharu Tan Chong Motor

Nissan Almera, Navara

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 April - Pelancaran dua model baharu Nissan iaitu Almera dan Navara menjadi kekuatan baharu buat Tan Chong Motor Holdings (TCM) untuk kekal menguasai pasaran domestik pada tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, syarikat pengedaran itu juga dijangka terus menerima manfaat daripada pengeculian cukai jualan pada separuh pertama 2021.

 

"Dalam taklimat yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan TCM pada Jumaat lalu, kumpulan itu menyasarkan untuk terus mengekalkan pasaran domestik sekitar 3% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) pada tahun kewangan 2021.

 

"Ia didorong oleh kemunculan model baharu Nissan iaitu Almera dan trak Navara.

 

"Kami juga menjangkakan kumpulan itu akan terus menerima manfaat daripada pengecualian cukai jualan yang berterusan dalam tempoh separuh pertama 2021," jelas CGS-CIMB Research.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, jumlah jualan TCM merosot 34% tahun ke tahun pada 2020 disebabkan oleh penjualan yang lebih rendah di Malaysia (-32% tahun ke tahun).

 

Selain prestasi kurang memberangsangkan di Malaysia, prestasi di negara serantau iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam (CLMV) turut menyusut -39% tahun ke tahun.

 

Ujar CGS-CIMB Research, meskipun prestasi jualan yang rendah, pihaknya melihat jualan yang menggalakkan dalam operasi Malaysia kerana kumpulan berkenaan serta sektor automotif domestik lain mendapat manfaat daripada pengecualian cukai jualan di bawah pakej rangsangan Penjana.

 

Jumlah jualan TCM di Malaysia meningkat 4% pada suku keempat 2020 berbanding suku sebelumnya.

 

Bagaimanapun, jumlah jualan bagi negara CLMV menjunam 53% pada suku keempat 2020 disebabkan oleh penghentian pengedaran model Nissan Sunny dan X-Trail CKD oleh Nissan Motor Corp di Vietnam pada akhir September 2020.

 

Susulan itu, jualan di Vietnam menurun 66% pada suku keempat 2020 berbanding suku sebelumnya.

 

"Kami masih menyimpan ramalan pendapatan untuk TCM selain mengekalkan saranan 'kurangkan' saham TCM bersama harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.01," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com