Pelancaran projek baharu, MIDF Research unjur prospek jualan Mah Sing lebih baik bermula FY24 | DagangNews Skip to main content

Pelancaran projek baharu, MIDF Research unjur prospek jualan Mah Sing lebih baik bermula FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Dis - MIDF Research menjangkakan prospek jualan Mah Sing Group Berhad dijangka lebih baik bermula FY24 disokong oleh pelancaran projek perumahan baharu selain langkah aktif kumpulan itu mengambil alih tanah.

 

Setakat ini, kumpulan itu berjaya meraih lima lot tanah baharu pada FY23 sebagai usaha untuk mengembangkan rumah mampu milik dari Siri M.

 

"Mah Sing mencatatkan jumlah jualan baharu sebanyak RM1.8 bilion bagi sembilan bulan 2023 dan sedang berada di landasan yang baik untuk melepasi sasaran jualan baharu sebanyak RM2.2 bilion untuk FY23.

 

"Pihak pengurusan juga melihat potensi yang baik daripada usaha niaga industrinya baru-baru ini.

 

"Mah Sing pada Ogos 2023 telah membentuk kerjasama bagi pembangunanhartanah perindustrian untuk menampung permintaan yang semakin meningkat bagi hartanah perindustrian di Malaysia daripada pembeli China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan sambutan baik daripada projek-projek terdahulu, kumplan itu menyasarkan pelancaran M Sinar yang merupakan pangsapuri perkhidmatan setinggi 33 tingkat dengan 999 unit di Southville City pada suku pertama 2024.

 

Keluasan binaan adalah daripada 550 kaki persegi hingga 868 kaki persegi dengan harga jualan bermula daripada RM342,000.

 

"Kami menjangkakan kadar pengambilan adalah baik kerana permintaan untuk rumah mampu milik kekal kukuh. 

 

"Selain itu, kami faham bahawa permintaan sewa di Southville sangat baik kerana ia terletak kira-kira 10km dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya.

 

Bandar Southville seluas 173.2 hektar merupakan bandar pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM11.1 bilion dan boleh diakses menerusi Lebuhraya KL-Seremban. 

 

"Kami menyukai Mah Sing kerana fokus terhadap projek dalam julat harga mampu milik yang akan memacu pertumbuhan jualan hartanah baharu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 99 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com