Pelancongan Malaysia sumbang 14% kepada KDNK 2022 dengan perbelanjaan RM92.7 bilion - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pelancongan Malaysia sumbang 14% kepada KDNK 2022 dengan perbelanjaan RM92.7 bilion - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Sept - Pelancongan Malaysia menyumbang sebanyak 14% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 berbanding 12.8% pada 2021, dengan perbelanjaan pelancongan mencecah RM92.7 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai ditambah kasar industri pelancongan (NDKIP) Malaysia mencecah RM251.5 bilion, manakala keluaran dalam negeri kasar pelancongan langsung (KDNKPL) merekodkan RM47.9 bilion berbanding RM11.6 bilion pada 2021.

 

Katanya, prestasi memberangsangkan ini susulan daripada pembukaan semula sempadan negara kepada pelancong antarabangsa pada 1 April 2022 dan penghapusan keperluan kuarantin serta ujian saringan COVID-19 ketika tiba di Malaysia mulai 1 Ogos 2022.

 

"Perbelanjaan pelancongan daripada pelancongan inbound (antarabangsa) juga telah meningkat secara signifikan dengan peningkatan sebanyak RM33.4 bilion (7000.2%) berbanding tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan media Akaun Satelit Pelancongan 2022 di sini hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, prestasi industri pelancongan Malaysia dipacu oleh peningkatan semula perbelanjaan pelancongan domestik bernilai RM59.2 bilion, memulih dengan kenaikan sebanyak 239.3% pada 2022 berbanding 54.8% tahun sebelumnya.

 

Katanya, pelancongan domestik menyumbang 63.9% kepada jumlah penggunaan pelancongan internal yang merangkumi kedua-dua perbelanjaan dari pelancong inbound dan domestik.

 

"Pembukaan semula sempadan antarabangsa memberikan impak yang ketara terhadap perjalanan ke luar negara, dengan perbelanjaan sebanyak RM22.5 bilion pada 2022, mencatatkan peningkatan sebanyak 114.6% berbanding dengan 39.1% kepada RM10.5 bilion pada 2021. 

 

 

dosm

 

 

"Tambahan pula, industri pelancongan menyumbang kepada 23.4% kepada keseluruhan guna tenaga dengan 3.61 juta orang bekerja pada 2022 berbanding 3.52 juta orang pada 2021, mencerminkan peningkatan sebanyak 2.5% dari tahun sebelumnya," katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya meramalkan pertumbuhan pesat pada 2023 berdasarkan kepada senario semasa dan dengan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC) yang turut menyasarkan ketibaan lebih kurang 16.1 juta pelancong ke Malaysia pada tahun ini.

 

Katanya, kerajaan sedang mengambil langkah proaktif untuk menyokong pertumbuhan ini, termasuk dengan peruntukan sebanyak RM25 juta melalui Geran Sokongan Sektor Pelancongan untuk mempromosikan Malaysia dan mencapai matlamat Tahun Melawat Malaysia (TMM) pada 2026. 

 

"Kerajaan menetapkan sasaran 23.5 juta ketibaan pelancong antarabangsa dengan pendapatan dijangka sebanyak RM76.8 bilion semasa TMM 2026," katanya.

 

Selain itu, Pelan Strategik & Pelan Pemasaran Pelancongan Malaysia 2022-2026, dilancarkan pada 30 Mac 2022, bertujuan untuk merancakkan semula sektor pelancongan negara. 

 

Ini termasuk strategi untuk meningkatkan aliran pelancong, melibatkan kerjasama dari pemain industri untuk menyokong pemulihan dan pembangunan semula secara lestari.

 

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025 juga menekankan kepentingan sektor pelancongan, termasuk mempromosikan ekopelancongan di kawasan luar bandar, mengubah Kampung Baru Cina menjadi destinasi pelancongan dan meneroka produk dan tapak pelancongan berasaskan alam semula jadi dan warisan budaya yang baru. - DagangNews.com