Pelanggan Setel kini boleh tambah nilai dalam dompet Setel dengan GrabPay | DagangNews Skip to main content

Pelanggan Setel kini boleh tambah nilai dalam dompet Setel dengan GrabPay

Priyanka Madan dan Mazlin Erawati Ab Manan

KUALA LUMPUR 21 Mac – Setel bekerjasama dengan GrabPay Malaysia untuk menawarkan GrabPay sebagai satu pilihan tambah nilai bagi Dompet Setel, sambil menawarkan pengguna kenderaan di Malaysia sebuah pengalaman yang lebih inklusif dan bermanfaat.

 

Pengguna GrabPay kini boleh mengisi petrol dengan lebih lancar melalui Setel sambil meraih ganjaran di kedua-dua aplikasi berkenaan.

 

Pengguna bukan sahaja dapat memperoleh GrabRewards bagi setiap penambahan nilai yang dibuat di Setel, malah mereka juga dapat mengumpul mata ganjaran Mesra untuk pembelian petrol atau barangan di mana-mana Kedai Mesra di seluruh negara dengan Setel.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mazlin Erawati Ab Manan berkata, usaha sama Setel dengan GrabPay membolehkannya memperluaskan lagi pilihan tambah nilai serta ganjaran daripada rakan kongsi untuk para pelanggan.

 

''Di Setel, matlamat kami adalah untuk menawarkan pengalaman mobiliti yang lebih baik di Malaysia. Setiap fungsi dan penambahbaikan yang kami perkenalkan di aplikasi ini bertujuan untuk memenuhi keperluan pelanggan kami, yang terus menjadi nadi usaha inovasi kami,” kata beliau.

 

Sementara itu Ketua GrabPay, Priyanka Madan berkata, usahasama dengan Setel ini mencerminkan komitmen GrabPay untuk membekalkan rumusan-rumusan kewangan yang inklusif bagi memenuhi keperluan digital para pelanggan kedua-dua pihak.

 

“Sebagai penyedia e-dompet antara yang terkemuka di Malaysia, kami percaya bahawa jalinan usaha sama bersinergi boleh membekalkan rakyat Malaysia dengan akses yang mudah ke atas keperluan harian  mereka seperti snek, minuman dan petrol.

 

''Dengan  perkembangan penerimagunaan  e-dompet  di  seluruh  Malaysia,  sistem  sekuriti  kami  terus  berfungsi  untuk menjamin keselamatan setiap transaksi,” katanya.

 

Mulai hari ini hingga 2 April 2022, pengguna baharu Setel dan GrabPay boleh meraih ganjaran tambahan sehingga RM21.

 

Pengguna Setel baharu akan menerima kredit Setel sebanyak RM9 secara percuma bagi tiga transaksi tambah nilai pertama mereka yang berjumlah RM30.

 

Pengguna GrabPay baharu pula akan dihadiahkan diskaun 20% dengan had nilai sebanyak RM12 bagi transaksi dalam talian mereka yang pertama, jadi pengguna dapat menikmati lebih banyak kredit Setel pada harga yang lebih  jimat.  - DagangNews.com