PUTRAJAYA 10 Jan - Pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat mengikut protokol dan proses yang teratur dengan nama Ketua Pesuruhjaya dicadangkan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan Azam ke jawatan itu tidak harus dikaitkan dengan pemilikan saham beberapa syarikat.
Beliau berkata, Azam dilantik selepas berlaku kekosongan jawatan apabila Ketua Pesuruhjaya terdahulu, Latheefa Koya, meletak jawatan susulan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Katanya, berikutan itu, kekosongan jawatan berkenaan perlu diisi dan Azam dilantik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Proses lantikan itu teratur mengikut peraturan. Mana-mana jawatan kerajaan terutama jawatan penting seperti itu tidak dibuat secara begitu mudah sahaja.
''Ia harus melalui satu proses dan ia diperakukan oleh sebuah jawatankuasa yang mana Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) dalam kes ini mengemuka cadangan nama, bukan saya pilih.
"Saya tak rasa ada kesalahan (prosedur pelantikan). Urusan dibuat oleh KSN dan saya memperakukan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.
"Jadi, jangan kaitkan proses itu (pelantikan) dengan kes yang kita dengar sekarang ini. Saya tak mahu ulas kes itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di sini hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu dibangkitkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sama ada Muhyiddin membuat menyemak secara terperinci, sebelum melantik Azam pada Mac 2020. - DagangNews.com