Peletakan jawatan Anwar Syahrin berkuat kuasa 30 Oktober ini | DagangNews Skip to main content

Peletakan jawatan Anwar Syahrin berkuat kuasa 30 Oktober ini

 

KUALA LUMPUR 19 Okt. - UEM Sunrise Bhd. mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkuat kuasa 30 Oktober 2020. 

Menurut UEM Sunrise dalam makluman kepada Bursa Malaysia, beliau juga melepaskan keanggotaannya dalam pembangunan lembaga pengarah, risiko dan tadbir urus serta jawatankuasa tender berkuat kuasa 19 Oktober 2020.  

Pengerusi Lembaga Pengarah UEM Sunrise, Datuk Noorazman Abd. Aziz berkata, Anwar Syahrin yang merupakan akauntan bertauliah dan memiliki pengalaman dalam pelbagai industri menyertai UEM Sunrise pada 1 September 2014 sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif. 

"Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada beliau atas segala sumbangan sepanjang enam tahun ini. 

"Dalam tempoh ini, UEM Sunrise mencatat pencapaian yang cemerlang dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju industri  yang berkhidmat dengan para pelanggan dan pihak berkepentingan di Malaysia, Australia dan Afrika Selatan," katanya. 

Noorazman juga memberitahu, lembaga pengarah kini memulakan proses untuk mengenal pasti calon yang bersesuaian untuk memegang jawatan tersebut. 

Baru-baru ini, UEM Group Bhd telah menyerahkan surat kepada lembaga pengarah UEM Sunrise dan Eco World Development Group Bhd mencadangkan mereka menimbang potensi penggabungan antara kedua-dua syarikat itu. 
- DagangNews.com