Peluang B40 rebut program francais mampu milik RM100,000 | DagangNews Skip to main content

Peluang B40 rebut program francais mampu milik RM100,000

Program Franchise Bay yang diadakan di MyTown, Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 13 September.

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Golongan B40 dan M40 yang berminat menceburi bidang perniagaan francais kini berpeluang menikmati pakej mampu milik dalam usaha kerajaan menggalakkan lebih ramai penyertaan usahawan di negara ini. 

Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang giat mempromosikan semula perniagaan francais berbentuk mikro yang pernah dilaksanakan pada 2012. 

Menurut Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, perbincangan telah diadakan bersama beberapa pemain industri yang berpotensi untuk menawarkan pakej francais mampu milik bernilai RM100 ribu ke bawah dan francais mikro bernilai RM50 ribu ke bawah yang relevan kepada golongan B40 dan M40. 

Katanya, inisiatif itu akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan di samping menjana pulangan keuntungan kepada francaisor.

"KPDNHEP mempunyai rakan strategik yang menawarkan kemudahan pembiayaan kepada mereka yang berminat untuk menceburi perniagaan francais, iaitu Skim Pembiayaan Kecil Francais (SPKF) dan Dana Bantuan Pembangunan Francais (DBPF) oleh Perbadanan Nasional serta Skim Pembiayaan Francais (SPF) oleh Credit Guarantee Corporation (CGC).

"Setakat ini, terdapat 11 jenama yang menawarkan pakej mikro dan mampu milik ini, antaranya, Arjuna Village, Ani Sup Utara, Taska Bonda Mama, KopieSatu, ELV, Global Art, V-Agromart, MD Putu Bambu World, Q-dees, Home Maths Therapy Centre dan Ayam D’Penyet," katanya dalam majlis perasmian Program Pameran Francais Berskala Kecil (Franchise Bay) 2020 bagi peringkat zon tengah di sini hari ini. 

 

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tengah) ketika sidang akhbar selepas perasmian program Franchise Bay 2020 di sini hari ini.
HASNOL ZAM ZAM AHMAD (tengah) dan Radzali Hassan (kiri) ketika sidang akhbar selepas perasmian program Franchise Bay 2020 hari ini.

 

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan.

Program tersebut yang bermula hari ini hingga 13 September menyasarkan 30 potensi francaisi dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.5 juta menerusi penyediaan 12 buah tapak pameran francais. 

Selain zon tengah, program tersebut akan bergerak ke Kuantan, Johor Bahru, Melaka dan Kuching. 

Ia melibatkan sasaran keseluruhan 150 potensi francaisi dan RM38 juta pelaburan. 

Beliau memberitahu, terdapat 646 jenama francais berdaftar di Malaysia dan daripada jumlah tersebut, 583 adalah jenama tempatan seperti Manhattan Fish Market, Marrybrown, Tealive, Coolblog, Genius Aulad, Old Town White Coffee, dan Teh Tarik Place.

"Pandemik COVID-19 yang melanda juga memberi kesan nyata kepada ekonomi. Oleh itu, penganjuran program ini merupakan platform kepada para francaisor mempromosikan perniagaan francais mereka dan bersama-sama menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara," katanya. - Dagangnews.com