Peluang cerah OCK Group kembangkan portfolio menara telekomunikasi di Vietnam, Myanmar | DagangNews Skip to main content

Peluang cerah OCK Group kembangkan portfolio menara telekomunikasi di Vietnam, Myanmar

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Julai - Kenanga Research menjangkakan OCK Group Berhad akan terus menerima peluang pertumbuhan perniagan yang positif dalam sektor infrastruktur telekomunikasi di Vietnam dan Myanmar khususnya di kawasan luar bandar.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga berada di kedudukan terbaik untuk menerima manfaat daripada Program Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) termasuk pengenalan teknologi 5G di Malaysia.

 

"Kestabilan pendapatannya kira-kira tiga perempat daripada pendapatan berulangnya hadir daripada penyelenggaraan menara telekomunikasi (55,000 menara dengan 80% daripada berada di Indonesia) dan pajakan menara telekomunikasi.

 

"Mereka juga merupakan proksi kepada usaha pemindahan ibu kota baharu Indonesia ke Kalimantan dari segi infrastruktur telekomunikasi kerana kedudukannya yang kukuh di Indonesia (45% penguasaan pasaran bagi segmen penyelenggaraan menara telekomunikasi pada waktu ini)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berada di landasan tepat untuk meluaskan portfolio menara telekomunikasinya kepada 1,100 unit pada FY22 merangkumi 800 unit di Vietnam, 200 unit di Malaysia dan 100 unit di Myanmar.

 

Katanya, sehingga kini mereka berjaya menyiapkan 400 unit (kebanyakannya di Vietnam) bagi FY22 dan perkara itu dilihat tidak mengganggu mereka kerana kebiasaannya ia memerlukan antara tiga ke enam bulan untuk mendirikan menara telekomunikasi.

 

"Buat masa sekarang mereka sedang berusaha untuk meningkatkan kepantasan pembinaan selaras dengan pembukaan semula sektor ekonomi.

 

"Ketika ini, OCK memiliki 4,800 menara telekomunikasi merangkumi 3,000 unit di Vitenam, 1,200 unit di Myanmar dan 600 unit di Malaysia," katanya.

 

Firma itu mengekalkan sasaran 'outperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM0.45.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu masih berdepan risiko perkembangan portfolio menara telekomunikasi yang lebih perlahan berbanding jangkaan.

 

"Selain itu margin operasi yang lebih rendah daripada jangkaan dan risiko berkaitan oerpasi terutama dalam keadaan ekonomi sedang membangun," katanya. - DagangNews.com