Peluang kerja pelbagai industri menerusi inisiatif Sandbox oleh Futurise | DagangNews Skip to main content

Peluang kerja pelbagai industri menerusi inisiatif Sandbox oleh Futurise


CYBERJAYA 2 Jun - Futurise menerbitkan Laporan Impak (2018-2020) bertajuk ‘Futurise Regulatory Summary for Stakeholders’ (FiRST), yang mengetengahkan peranan utama syarikat tersebut dalam menerajui inisiatif National Regulatory Sandbox (NRS) dan sebagai Penasihat Dasar Awam untuk industri dan kerajaan dalam membentuk Ekonomi Masa Hadapan.

 

Sejak dari awal penubuhan Futurise, kerja-kerja intervensi pengawalseliaan, strategi penerapan inovasi dan pemacuan perkembangan ekosistem telah menjadi faktor utama dalam memastikan kejayaan inisiatif NRS.

 

Dalam masa 3 tahun, inisiatif NRS telah  mempengaruhi lebih dari 4,000 penciptaan pekerjaan. Selain dari itu,  Futurise juga memastikan ketersediaan lebih dari 5,000 peluang pekerjaan di masa hadapan dalam tempoh masa 5 tahun melalui pengawalseliaan industri dron.

 

Drone Industry Insight telah meletakkan Malaysia di tempat ke-24 di dunia pada tahun 2019 dalam pengembangan teknologi dron, Malaysia kini telah bersedia untuk menjadi antara pemain penting industri dron di rantau Asia.

 

Satu daripada hasil program NRS Lab ialah penubuhan Drone Testing Zone (DTZ) pertama di Malaysia yang telah diumumkan pada 1 Julai 2019 semasa upacara MyDroneX.

 

Terletak di Cyberjaya, pemain industri dron diberi peluang untuk menguji inovasi dron mereka dalam persekitaran yang selamat dan terkawal yang akan membantu memacu industri dron secara keseluruhan pada jangka masa panjang. Sehingga kini, lebih daripada 216 penerbangan dengan lebih 432 jam penerbangan telah dicatatkan di DTZ Cyberjaya.

 

Futurise

 

Dengan kesan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan kesulitan ekonomi, jangkaan peluang pekerjaan yang besar iaitu dengan lebih daripada 23,000 dapat diwujudkan bagi pekerja-pekerja ekonomi Gig di Malaysia dalam tempoh masa 5 tahun, khususnya dalam Servis Penjagaan Kanak-Kanak Secara Mobil (Mobile Child Care Services).

 

Mempengaruhi lebih daripada 20,000 pengasuh berdaftar di bawah JKM yang telah tersenarai pada masa ini, peranan Futurise ialah untuk mengembangkan dan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP), yang diluluskan oleh JKM untuk memastikan standard-standard tersebut dapat dipatuhi oleh penyedia servis penjagaan kanak-kanak secara mobil serta mengambil kira aspek keselamatan awam. 

 

Pada suku ke-empat tahun 2020, Kawasan Pengujian Kenderaan Berautonomi di Cyberjaya (MyAV) telah dilancarkan bersama dengan pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) di bawah inisiatif NRS untuk perkembangan projek kenderaan berautonomi.

 

Ia sekaligus dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang dianggarkan sebanyak 200-250 khususnya dalam bidang robotik & kejuruteraan elektrik, pengaturcaraan program, pembelajaran mengenai mesin, kecerdasan buatan dan kejuruteraan automotif.

 

Futurise merupakan peneraju dalam pembangunan kawasan pengujian kenderaan berautonomi di Cyberjaya yang merangkumi 2 laluan dengan tujuan untuk menyokong pemain-pemain industri dalam menguji dan mengumpul data yang berkaitan.

 

Sejak Januari 2021, laluan pengujian telah diguna pakai dengan anggaran sebanyak tiga kali seminggu dan melibatkan kira-kira jumlah jarak 480km secara keseluruhannya. 

 

"Kami meneruskan usaha untuk mewujudkan impak yang penting sepanjang tahun 2021 bagi membentuk masa hadapan yang lebih baik dalam kemajuan peluang ekonomi, menyokong pertumbuhan inovasi dalam negara, mempercepatkan intervensi pengawalseliaan untuk menyelesaikan masalah perkongsian data dan mengurangkan pergantungan terhadap tenaga kerja asing dengan memastikan pekerjaan terus dapat diciptakan dalam inisiatif NRS Lab kami, ” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Futurise.

 

 

Futurise Mahadhir Aziz
Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Futurise

 

Selain itu, Futurise melalui kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) sedang membangunkan rangka kerja regulasi dan peraturan yang perlu disesuaikan dengan industri sukan, teknologi sukan dan kemajuan yang berpotensi untuk mewujudkan ekosistem baharu.

 

Kerjasama dengan Akademi Sains Malaysia (ASM) pula melalui program iConnect oleh ASM dan FUTURITY oleh Futurise dapat meningkatkan padanan teknologi dan penyelesaian yang berpotensi yang diperlukan oleh industri. 

 

Antara inisiatif lain yang juga sedang dijalankan di bawah program NRS Lab ialah Digital Stamping dalam usaha mempercepat perkhidmatan penyampaian digital kerajaan dengan impak lebih 5 juta transaksi yang dapat dibuat secara dalam talian. Ia memberi kesan terhadap lebih daripada 10 juta pengguna daripada sektor awam dan swasta, sekaligus dapat mewujudkan potensi kutipan duti setem sebanyak RM6 juta. 

 

Sila layari: https://futurise.com.my/first untuk muat turun Futurise Regulatory Summary for Stakeholders (FiRST). - DagangNews.com