Peluang pelaburan di Malaysia masih terbuka luas sebelum SDG PBB 2030 | DagangNews Skip to main content

Peluang pelaburan di Malaysia masih terbuka luas sebelum SDG PBB 2030

SDG PBB 2030

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Peluang pelaburan di Malaysia serta pasaran baharu masih terbuka luas bagi membantu dunia mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2030.

 

Perkara itu dibuktikan melalui satu kajian yang dijalankan oleh Standard Chartered Bank Malaysia (Standard Chartered Malaysia).

 

Kajian melalui hasil laporan yang bertajuk 'The AS$50 Trillion Question' itu mengkaji bagaimana sebahagian pengurus aset terbesar dunia yang mempunyai jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai AS$50 trilion, membuat pelaburan pada waktu kritikal untuk ekonomi global dan persekitaran.

 

Dalam konteks pelabur baharu dalam pasaran ASEAN, Malaysia dilihat menjadi pilihan popular.

 

Hampir satu pertiga (30%) daripada mereka meletakkan Malaysia sebagai salah satu pasaran utama.

 

Bagi syarikat membangun iaitu pelabur yang menyaksikan peningkatan AUM sekurang-kurangnya 5% dalam tempoh tiga tahun terakhir telah meningkat kepada 44%.

 

Hasil kajian itu juga menunjukkan bahawa hanya 22% AUM dilaburkan ke Asia, sementara dua pertiga iaitu 64% pula dilaburkan ke Eropah dan Amerika Utara.

 

Jumlah itu berbeza dengan 88% pelabur yang berpendapat bahawa pelaburan di pasaran baharu adalah sepadan dan mengungguli pasaran maju sepanjang tiga tahun lalu. 

 

Risiko yang ditimbulkan oleh pasaran baharu dilihat menjadi penghalang utama kepada pelaburan.

 

Lebih dua pertiga pelabur percaya pasaran baharu membangun berisiko tinggi berbanding 42% yang berpendapat situasi sama dalam pasaran maju.

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A Anwar berkata, kajian ini menunjukkan keperluan untuk bergerak dengan lebih pantas bagi mencapai SDG 2030.

 

Abrar A Anwar
Abrar A Anwar 

 

"Banyak kemajuan telah dicapai dalam beberapa tahun terakhir ini untuk mewujudkan SDG, tetapi kajian ini menjelaskan perlunya untuk bergerak dengan lebih cepat," ujar beliau.

 

Sementara itu, COVID-19 pula mungkin menjadikan perkara tersebut lebih sukar bagi pasaran baharu untuk mendapatkan pelaburan yang diperlukan.

 

Sebanyak 70% pelabur percaya bahawa wabak tersebut telah memperluas jurang perbezaan modal.

 

Hasil kajian turut menunjukkan peningkatan tumpuan kepada kelestarian dengan 81% syarikat pelaburan mengambil pendekatan berdisiplin terhadap pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

 

Bagaimanapun, perkara itu tidak diterjemah ke dalam pelaburan SDG.

 

Sebanyak 55% menyatakan SDG tidak berkait dengan pelaburan arus perdana, manakala 47% pula mengatakan pelaburan SDG terlalu sukar untuk diukur.

 

Namun, satu perlima daripada pelabur mengakui bahawa mereka tidak sedar mengenai SDG. - DagangNews.com