SAMBUTAN perayaan masyarakat majmuk negara ini adalah antara platform penting yang sangat signifikan untuk memupuk dan memperkukuh tahap perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.
Hal ini kerana secara lazimnya pada musim perayaan kita akan mengetepikan segala perbezaan ideologi dan persengketaan yang wujud sebelum ini dan meraikan perayaan tersebut dengan meriah dan bersatu padu.
Jadi tatkala kita berada di bulan Syawal dalam mood sambutan Hari Raya Aidilfitri, seluruh rakyat Malaysia perlu sekali lagi menggunakan ruang dan peluang yang ada ini untuk mengeratkan hubungan tali silaturahim antara etnik. Ironinya, sambutan Aidilfitri sangat unik dan meriah kerana diraikan oleh majoriti penduduk negara ini.
Senario ini ditambah pula dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan agama bagi Persekutuan. Maka Hari Raya Aidilfitri wajar menjadi hari perayaan untuk seluruh rakyat negara ini dalam konteks sama-sama meraikannya dengan gembira dan meriah.
Jujurnya kita perlu akui masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperkukuh tahap perpaduan antara kaum di negara kita. Justeru anggota masyarakat tidak boleh rasa bosan untuk bercakap tentang keperluan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat kerana perpaduan adalah tunjang kestabilan rakyat dan negara selain menjadi faktor penting kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
Setiap warganegara yang bertanggungjawab dan mahu negara ini kekal aman, harmoni serta stabil perlu memikul amanah untuk mempertahankan jambatan perpaduan yang telah diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu.
Tuntasnya, tidak mungkin kita bebas merdeka dan berada pada kedudukan seperti sekarang andai generasi terdahulu tidak sanggup bertolak ansur dan mengetepikan segala perbezaan pada ketika itu.
Ternyata pemimpin terdahulu meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan sekali gus membina jambatan perpaduan yang kukuh antara semua lapisan masyarakat sebelum menuntut kemerdekaan daripada penjajah.
Jadi kini kita perlu memikul tanggungjawab untuk terus menjaga dan memelihara perpaduan tersebut. Anak-anak muda khususnya yang bakal menyambung legasi kepimpinan negara perlu dididik dan diingatkan kepentingan perpaduan dalam kerangka negara majmuk seperti Malaysia.
Umpama peribahasa bumi mana tak ditimpa hujan, negara kita juga sering diuji dengan pelbagai insiden yang menggoncang jambatan perpaduan yang ada.
Walaupun semuanya dapat dikawal dengan baik namun bibit-bibit perpecahan itu sentiasa berlaku di sana sini di mana sudah ada dalam kalangan anggota masyarakat yang suka mengupas segala isu dalam konteks agama dan kaum selain mencetuskan pelbagai provokasi serta kontroversi sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Jadi tidak keterlaluan untuk dirumuskan kualiti perpaduan yang pada ketika ini sangat rapuh dan hanya senipis kulit bawang.
Kita khuatir jika dibiarkan insiden-insiden kecil yang berlaku selain peranan individu yang tidak bertanggungjawab yang suka mengadu domba anggota masyarakat, situasi akan menjadi lebih parah dan akhirnya boleh meruntuhkan jambatan yang kita pertahankan selama ini.
Misalnya ada saja yang terus mempertikai apa yang terpateri kemas dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, hak dan keistimewaan orang Melayu serta kedudukan institusi diraja sebagai payung negara.
Untuk rekod, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka tujuh kertas siasatan berkaitan kes penghinaan terhadap kaum, agama dan institusi diraja (3R) dalam tempoh 10 hari bermula 27 Mac hingga 6 April lalu.
Media sosial dilihat menjadi platform utama pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan pelbagai fitnah dan tohmahan termasuk memuat naik gambar serta video sensitif yang menyentuh isu 3R sekali gus menggusarkan rakyat.
Justeru baik ketika musim Hari Raya Aidilfitri seperti sekarang mahupun perayaan lain yang disambut sepanjang tahun seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Natal dan sebagainya wajar diangkat sebagai platform terbaik untuk kita menilai dan menguji tahap serta kualiti perpaduan yang ada seterusnya menggamit perayaan ini sebagai alat penyatuan seluruh bangsa Malaysia.
Tradisi rumah terbuka, saling kunjung mengunjungi dan budaya bermaaf-maafan yang kita amalkan di musim perayaan perlu diangkat sebagai platform untuk kita melupakan persengketaan yang ada dengan meraikan perbezaan yang wujud serta mencari persamaan dalam perbezaan selain memahami budaya, amalan serta hak setiap etnik seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Amalan baik yang kita buat ketika musim perayaan sewajarnya diteruskan sepanjang masa supaya proses penyatupaduan itu boleh berlaku secara terus menerus.
Hal ini penting untuk diberi perhatian kerana pada ketika ini ianya lebih bersifat one-off atau bermusim sahaja di mana sikap seperti ini adalah sangat merugikan dan akhirnya perpaduan yang ada digambarkan hanya berbentuk kosmetik atau luaran semata-mata dan bukan benar-benar lahir dari hati yang jujur dan ikhlas.
Hakikatnya, masyarakat kita kaya dengan pelbagai adat dan budaya yang unik dan istimewa yang wajar diraikan secara bersama dengan hati yang terbuka.
Perlu diingat, keunikan ini jugalah telah menjadi kekuatan dan kebanggaan kita selama ini. Misalnya, masyarakat dunia melihat kemajmukan kita sebagai suatu yang pelik dan mustahil untuk dicapai mahupun dipertahankan tetapi selama ini kita berjaya buktikan bahawa kita boleh maju dan membangun sebagai satu bangsa dan satu suara.
Namun semua ini akan lenyap andai kita gagal untuk terus memperkukuh dan mempertahankan perpaduan tersebut.
Harus diingat kejayaan pembentukan masyarakat dan negara Madani juga bergantung sepenuhnya kepada kualiti dan tahap perpaduan yang kita miliki.
Ironinya, kesatuan dalam perbezaan adalah kehebatan sebenar bangsa Malaysia yang membolehkan kita terus kekal teguh bersama.
Justeru bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, marilah kita buang jauh-jauh budaya menabur fitnah, mencetus propaganda, prasangka negatif serta segala jenis perseteruan sekali gus terus memperkukuh perpaduan antara semua etnik yang ada baik majoriti mahupun minoriti atas prinsip kita semua adalah anak Malaysia. - DagangNews.com