Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Julai - Tampil sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara, penubuhan Felda sejak 65 tahun lalu dipacu hebat oleh warga penerokanya.
Felda pernah memahat nama sebagai model pembangunan tanah oleh negara luar.
Kejayaan yang dicapai Felda termasuklah dalam usaha membasmi kemiskinan, meningkatkan hasil komoditi negara dan meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya penduduk luar bandar.
Bersempena Sambutan Hari Peneroka Felda 2021 semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasratnya untuk melihat nama Felda tersenarai sebagai syarikat global paling berjaya melalui strategi serampang tiga mata iaitu 'Restart, Revitalise dan Reform'.
Di bawah strategi penjanaan semula (restart), Muhyiddin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman secara bersyarat.
Baca: Kerajaan setuju lupas bersyarat RM8.3 bilion hutang peneroka Felda
Pelupusan pinjaman berkenaan terutamanya bagi generasi awal yang telah berkorban keringat dan air mata bagi membolehkan program pembangunan tanah dapat dijayakan.
Mengulas perkara tersebut, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengumuman untuk melupuskan sebahagian dari pinjaman peneroka sebanyak RM8.3 bilion melalui penerbitan sukuk RM9.9 bilion adalah sesuai pada waktunya.
Menurutnya, ini kerana harga minyak sawit mentah (MSM) berada pada paras yang baik iaitu RM4,000 setiap tan sekali gus memudahkan terbitan tersebut untuk menarik perhatian pelabur.
Dalam pada itu, kecairan tunai juga adalah mencukupi di pasaran modal untuk memenuhi kehendak pelabur.
"Pulangan lebih tinggi dari harga minyak sawit dan pelupusan sebahagian besar pinjaman peneroka hingga 80% merupakan bonus berganda kepada mereka.
"Apatah lagi dengan suasana kemelesetan ekonomi kesan dari pandemik COVID-19 juga turut menjejaskan kehidupan anggota keluarga peneroka-peneroka tersebut.
"Dengan pengurangan bayaran pinjaman, tunai itu dapat digunakan untuk membantu ahli keluarga dan dapat menarik nafas lega sedikit. Misalnya purata pinjaman bulanan dari RM1,000 ke RM800 diturunkan antara RM300 dan RM150," jelas beliau kepada DagangNews.com hari ini.
Ditanya sama ada keputusan pelupusan pinjaman berkenaan menganggu aliran kewangan kerajaan, beliau memberitahu, pelupusan yang berjumlah RM8.3 bilion itu dijangka akan dibiayai melalui terbitan sukuk RM9.9 bilion yang akan ditawarkan kepada para pelabur.
Menurutnya, situasi tersebut adalah satu tindakan yang sesuai tanpa memerlukan suntikan dan membebankan kewangan kerajaan.
"Malah kecairan pasaran modal tempatan mencukupi untuk membiayai terbitan sukuk ini. Harga minyak mentah kelapa sawit berada pada aras yang tinggi memudahkan lagi menarik pelaburan untuk pembiayaan ini," katanya lagi.
Mengulas berkaitan lebihan RM1.6 bilion daripada RM9.9 bilion, beliau berpendapat, jumlah berkenaan boleh dimanfaat oleh Felda bagi menjayakan program pembangunan pendapatan keluarga peneroka berbanding hanya bergantung kepada aspek perladangan.
Katanya, Felda mungkin boleh mewujudkan ekosistem digital tersendiri yang mencakupi platform e-dagang, jaringan logistik, fintech termasuk sistem pembayaran dan akademi bagi tujuan pembelajaran dan kemahiran.
"Sebahagian dari komponen ekosistem ini telah pun wujud di dalam Felda seperti jaringan logistik, dan akademi, apa yang perlu ada mewujudkannya seperti yang dioperasi sekarang oleh syarikat e-commerce gergasi seperti Lazada, Shoppe, Alibaba dan Amazon," tambah beliau lagi.
Baca: Tambah baik perniagaan Felda, PM luluskan penerbitan sukuk RM9.9 bilion
Pengumuman berita baik bagi peneroka Felda itu turut mendapat perhatian Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid.
Menurutnya, pengumuman tersebut secara keseluruhannya adalah satu 'hadiah' yang lama tertangguh.
"Dengan memikirkan sumbangan khasnya generasi awal Felda yang telah menyumbang, membangunkan dan menjayakan program penerokaan, pengumuman ini semestinya membantu golongan berkenaan yang rata-ratanya berada dalam kepompong B40 dan terkesan di waktu pandemik COVID-19.
"(Pelupusan pinjaman) ini dapat membebaskan mereka dari rantaian beban hutang yang sekian lama mencengkam mereka.
"Pelarasan pinjaman tanaman semula adalah beban utama peneroka dan merupakan nisbah terbesar hutang mereka, semestinya mereka akan bersyukur dapat keluar dari beban ini," jelas beliau.
Menyentuh berkaitan kelulusan penerbitan sukuk berjumlah RM9.9 bilion pula, beliau memberitahu, penerbitan sukuk berkenaan adalah satu pilihan yang rasional.
"Apatah lagi kerajaan mempunyai kekangan kewangan yang meruncing buat masa kini memerangi defisit ekonomi krisis COVID-19.
"Bagi jangka masa panjang, (perkara ini) memberi kesan positif yang berganda kepada peneroka yang akan meningkatkan produktiviti, mempunyai nilai impak sosial yang baik dan menyumbang kepada ekonomi lestari negara ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030)," katanya. - DagangNews.com