Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 April - Pasaran saham tempatan dibuka lebih rendah hari ini ekoran tiada pemangkin yang jelas bagi aliran masuk ekuiti.
Setakat 9.02 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut 1.24 mata atau 0.08% daripada paras yang ditutup Jumaat lalu, 1,608.38 kepada 1,607.14.
Dagangan pada pagi ini bagaimanapun berprestasi positif apabila jumlah kaunter untung, 198 mengatasi 120 kaunter rugi.
Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI sekali lagi akan didagangkan dalam julat yang terhad kerana tiada pemangkin pembelian.
“Walaupun kami mendapati terhadap beberapa aliran masuk dana asing, namun kami ragu-ragu jika situasi itu bertahan lama.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks berkenaan berlegar dalam julat 1,602 hingga 1,612 hari ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Di peringkat global, Wall Street secara umumnya ditutup lebih tinggi, dipacu oleh pendapatan korporat yang kukuh dan tanda-tanda pemulihan ekonomi di landasan tepat.
Jelas Rakuten Trade, Dow Jones Industrial Average menokok 164 mata untuk ditutup melebihi paras 34,200, sementara S&P 500 ditutup pada paras 4,200 dengan lonjakan 15 mata.
“Walaupun pasaran serantau dijangka bertambah baik hari ini, namun niaga hadapan Amerika Syarikat (AS) yang lemah mungkin menghalang peningkatan yang kukuh,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com