Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
SHAH ALAM 20 Okt. - Pemasangan meter pintar yang sedang diperluaskan di Cheras, Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya/Cyberjaya berjalan seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 27 Oktober ini.
“Sebagai satu daripada operasi bisnes yang dibenarkan semasa PKPB, kerja-kerja ini diteruskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” kata Pengarah Projek, Advanced Metering Infrastructure (AMI), TNB Ir. Mohamed Ghous Ahmad.
“Proses pemasangan hanya mengambil masa kira-kira 30 minit. Ia tertakluk kepada pematuhan rapi SOP seperti ditetapkan pihak berkuasa, termasuk berkaitan usaha membendung penularan wabak COVID-19. Ini bagi memastikan keselamatan pemasang meter dan pengguna sentiasa terjamin,” katanya.
Sehingga 16 Oktober 2020, sejumlah 608,976 unit meter pintar telah dipasang di Lembah Klang dan Melaka.
Menurut Mohamed Ghous, pengguna meter pintar mendapat kelebihan untuk mengawal corak penggunaan tenaga harian, mengurangkan pembaziran dan jejak karbon serta mengawal perbelanjaan bulanan.
“Meter pintar membolehkan pelanggan TNB untuk memantau penggunaan elektrik secara harian menerusi portal (ww.mytnb.com.my) dan aplikasi myTNB (boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery). Bil elektrik juga boleh dibayar secara dalam talian menerusi portal yang sama.
“Mereka juga dapat bacaan bil bulanan mereka melalui portal dan aplikasi myTNB dengan kadar segera pada setiap tarikh kitaran bil,” kata TNB.
Menurut TNB, sebelum pemasangan meter pintar, pengguna akan menerima surat pemberitahuan pemasangan meter oleh TNB dan kerja-kerja pemasangan akan dilakukan oleh kontraktor lantikan TNB. - DagangNews.com