Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Sebagai langkah memperkukuh pematuhan dan komitmen hak asasi manusia, Sime Darby Plantation Berhad (SDP) melantik PricewaterhouseCoopers (PwC) dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang pakar dalam hak buruh asing.
Menurut kenyataan SDP, PwC telah dilantik pada 19 Oktober lalu untuk menyokong pihaknya menubuhkan platform dan saluran komunikasi berkesan bagi menangani isu berbangkit dalam operasinya di Malaysia.
Jelas kumpulan syarikat itu, setelah Liberty Shared (LS) menghantar petisyen kepada Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS) atau US CBP, SDP telah meminta butiran dan maklumat lanjut berhubung tuduhan itu.
“SDP komited untuk mengambil dan membetulkan langkah yang diperlukan dengan segera sekiranya terdapat bukti berhubung kesalahan dan pelanggaran polisi serta prosedur sedia ada SDP.
“SDP juga akan bekerjasama dengan pakar luar persendirian untuk merancang program intervensi bagi menambah baik pematuhan komitmen hak manusia sedia ada.
“Bagi mencapai hasil yang terbaik dan objektif bersama, SDP berhasrat untuk meneruskan kerjasama dengan LS bagi mengembangkan serta melaksanakan program yang akan menambah baik hak pekerja kami secara berkesan,” kata SDP.
SDP turut meningkatkan proses pengambilan pekerja asing sejak 2015 selain melaksanakan beberapa langkah yang dapat meningkatkan hak dan keadaan tenaga kerja asing mereka secara progresif.
Bagaimanapun, disebabkan terdapat sekatan COVID-19 sejak suku pertama 2020, SDP berkata, pihaknya tidak dapat merekrut pekerja asing baharu.
Sehubungan itu, SDP mengambil peluang ketika tempoh berkenaan untuk melantik NGO antarabangsa yang pakar dalam hak pekerja asing pada 1 Oktober lalu.
Antara usaha yang bakal dilakukan NGO berkenaan untuk membantu SDP adalah menilai proses pengambilan pekerja semasa, terutama di negara sumber pekerja migran dan mengenal pasti bidang yang perlu diperbaiki selain mengembangkan proses pengambilan pekerja yang lebih baik.
Selain itu, mencadangkan langkah-langkah pembetulan lain yang dapat dilaksanakan oleh SDP untuk lebih jauh memperkukuhkan prosedur pengambilan pekerja bagi meningkatkan hak pekerja asing mereka.
“SDP akan mengumumkan perkembangan terkini mengenai kolaborasi baharu dan langkah-langkah lain pada masa akan datang,” tambah SDP. - DagangNews.com