Pembaharuan kontrak, Kenanga Research unjur kadar sewa harian pelantar Velesto lebih kukuh pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Pembaharuan kontrak, Kenanga Research unjur kadar sewa harian pelantar Velesto lebih kukuh pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - Purata kadar sewa harian (DCR) pelantar Velesto Energy Berhad dijangka lebih kukuh pada FY24 berikutan pembaharuan kontrak bagi penggunaan empat pelantarnya tetapi kadar penggunaan antara 80% hingga 85% disebabkan aktiviti penyelenggaraan.

 

Kenanga Research menjangkakan kadar penggunaan syarikat perkhidmatan bagi industri minyak dan gas itu tinggi pada 90% bagi 4QFY23 dan DCR sebanyak AS$97,500, selaras dengan kadar yang dicapai pada 3QFY23.

 

Sebagai tambahan katanya, Naga 8 telah memperoleh DCR sebanyak AS$137,000/hari, Naga 2, 4, dan 5 akan menjalani pembaharuan kontrak pada FY24.

 

"Kumpulan itu menunjukkan bahawa DCR untuk kontrak baharu akan berada dalam julat AS$120,000 hingga AS$130,000/hari.

 

"Keadaan itu dijangka menjadikan purata DCR kumpulan hampir kepada AS$120,000/hari, berpotensi melepasi jangkaan awal kami sebanyak AS$107,000/hari untuk FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, empat pelantar kumpulan itu (Naga 2, Naga 3, Naga 5, dan Naga 6) dijadualkan untuk penyelenggaraan utama pada FY24.

 

Katanya, anggaran kos penyelenggaraan utama bagi setiap pelantar ialah AS$10 juta, dan syarikat merancang untuk menyusut nilai kos ini dalam tempoh lima tahun akan datang, mengikut amalan standard.

 

"Kami meningkatkan unjuran pendapatan FY23 dan FY24 kumpulan sebanyak 20% dan 46%, selepas mengambil kira andaian DCR purata yang lebih tinggi (FY23: diselaraskan daripada AS$90,000/hari kepada AS$93,333/hari, FY24: diselaraskan daripada AS$107,000/hari kepada AS$118, 300/hari).

 

"Unjuran kami untuk penggunaan pelantar berada pada 83% untuk FY23 dan 84% untuk FY24," katanya.

 

Kenanga Research menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'market perform' berbanding 'underperform' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) 26 sen berbanding 17 sen sesaham sebelum ini. - DagangNews.com