Pembangunan koperasi di Johor dijangka terus berkembang tahun ini - SKM | DagangNews Skip to main content

Pembangunan koperasi di Johor dijangka terus berkembang tahun ini - SKM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac -  Perkembangan dan pencapaian koperasi di Johor kekal relevan dan terus mendapat kepercayaan kerajaan negeri melalui peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi membantu koperasi kecil dan mikro untuk memulakan semula aktiviti perniagaan tahun ini.

 

Pembangunan koperasi di Johor turut mendapat sokongan daripada Iskandar Region Development Authority (IRDA) melalui Village Enhancement & Empowerment Programme (VEEP) dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi memperkasakan ekonomi penduduk desa di kawasan IRDA dengan platform koperasi komuniti. 

 

Sepanjang tahun 2021, sebanyak RM9.6 juta telah diluluskan menerusi Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) kepada 17 buah koperasi di seluruh negeri Johor merangkumi pinjaman bercagar dan pembiayaan khas COVID-19. 

 

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Johor, Fadilah Salim berkata, Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) turut menyediakan geran kepada koperasi melalui Program Pembangunan Ekonomi Setempat bagi membiayai projek berdaya maju dan bermanfaat kepada komuniti setempat.

 

“Perkembangan dan pembangunan koperasi di Johor turut mendapat sokongan dan kepercayaan menerusi pelbagai program penyelarasan bersama agensi lain seperti Felcra Berhad (FELCRA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). 

 

“Berdasarkan sokongan yang diberikan kerajaan negeri dan agensi lain ini terbukti koperasi di negeri ini mampu memainkan berperanan besar kepada anggotanya bahkan menjadi pemangkin menerusi perkongsian kemakmuran bersama rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

skm
Fadilah Salim

 

 

Fadilah berkata, SKM negeri bertekad untuk membawa perubahan bagi memastikan koperasi dapat beri manfaat kepada ahli dan komuniti setempat.

 

Beliau berkata, perancangan itu juga selari dengan hasrat SKM dalam memacukan pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing sekaligus memberi manfaat kepada sosioekonomi rakyat selari dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM) yang dilancarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

 

“Sasaran tahun ini adalah untuk meluaskan lagi skala operasi dan aktiviti ekonomi seperti pembabitan dalam sektor pertanian moden seperti fertigasi memandangkan Johor mempunyai modal tanah yang besar.

 

“Gabungan aktiviti antara koperasi dan agensi lain juga dapat membuka peluang untuk mewujudkan hub pertanian moden dan memberi pulangan lumayan apabila pintu sempadan dibuka kelak selain segmen ekonomi pembangunan hartanah yang sedia ada,” katanya.

 

Sementara itu, menyentuh tentang pencapaian koperasi di negeri itu, beliau berkata, sebanyak 10 koperasi Johor terpilih bagi Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2021 bahkan SKM Johor telah menerbitkan buku 50 Koperasi Terbaik Johor sejak 2016. 

 

Katanya, sehingga Disember tahun lalu, terdapat sebanyak 1,456 koperasi direkodkan dengan jumlah 10% daripada koperasi di seluruh negara dengan jumlah anggota meningkat kepada 437,427 berbanding 413,524 pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com