KUALA LUMPUR 27 Mac - Pembangunan Mah Sing Business Park (MSBP) di Sepang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan baharu kepada Mah Sing Group Bhd.
RHB Investment berkata, dengan keluasan 227 hektar, MSBP mungkin terdiri daripada taman perindustrian yang kecil dalam keseluruhan pembangunannya tetapi kerjasamanya dengan syarikat China mungkin membuatkan banyak pihak berminat untuk menjalankan perniagaan di kawasan itu.
Katanya, kerjasama itu adalah tepat pada masanya kerana tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Firma penyelidikan itu berkata, tanah baharu mungkin menyediakan penarafan lebih tinggi kepada anggaran nilai aset bersih (RNAV).
ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing meterai perjanjian bangunkan pusat perniagaan dengan GDV RM728 juta di Sepang
"Dengan aliran tunai sebanyak RM500 juta pada FY24 (disebabkan oleh penyiapan pelbagai projek), pihak pengurusan telah mencari tanah baharu di Lembah Klang dan Johor, untuk pembangunan perbandaran dan perindustrian," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai segmen sarung tangan, kumpulan itu berkata, produk khusus berkualiti tinggi dengan kos yang cekap dijangka mempercepatkan pemulihan perniagaan pembuatan sarung tangan Mah Sing.
Pengurusan memberi gambaran bahawa sebaik sahaja purata harga jualan (ASP) naik kepada lebih AS$16.50 bagi setiap 1,000 keping, segmen itu akan menjalani pemulihan pendapatan yang mampan.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM1.55 berbanding RM1.15 sesaham," katanya. - DagangNews.com