Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Mac – Malaysia dan Singapura pada 31 Disember 2020 telah memuktamadkan sejumlah S$102,815,576.00 atau RM320,270,519.24 sebagai nilai bayaran balik kepada negara republik itu.
Ini susulan Malaysia membatalkan Perjanjian Dua Hala bagi Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung mengesahkan perkara itu dalam sebuah kenyataan bersama hari ini.
“Pembayaran S$102,815,576.00 (RM320,270,519.24) telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk membayar balik kepada kerajaan Singapura bagi kos yang dikeluarkan untuk pembangunan Projek HSR, dan berkaitan dengan lanjutan penangguhan Projek HSR,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, kedua-dua negara telah mencapai persetujuan ke atas nilai pampasan berkenaan susulan satu proses pengesahan oleh kerajaan Malaysia.
Jelas kenyataan itu, nilai berkenaan merangkumi penyelesaian penuh dan akhir berkaitan dengan pembatalan perjanjian tersebut.
“Kedua-dua negara kekal komited untuk mengekalkan hubungan baik dan memupuk kerjasama rapat bagi manfaat bersama buat rakyat di kedua-dua negara,” kata kenyataan itu lagi.
HSR mula dicadangkan pada 2010, antara inisiatif Program Transformasi Ekonomi, dan kemudiannya ditangguhkan pada Mei 2018 selepas pilihan raya umum ke-14 berikutan kajian semula terhadap beberapa komitmen pelaburan utama kerajaan.
Baca : Malaysia dilapor teruskan projek HSR tanpa Singapura
Namun, pada 31 Disember 2020, Malaysia dan Singapura membatalkan projek HSR selepas gagal mencapai kata putus selepas tempoh penangguhan tamat pada tarikh tersebut.
Untuk rekod, pembinaan projek HSR telah ditangguhkan sebanyak dua kali sejak perjanjian itu dimeterai pada Disember 2016.
Kos keseluruhan asal pembinaan HSR yang merangkumi laluan sepanjang 350 kilometer itu dianggarkan menelan belanja sehingga RM110 bilion. – DagangNews.com